RAMALLAH, 20 Feb 2018 — Jawatankuasa bagi Tahanan dan Bekas Tahanan PLO semalam mendedahkan bahawa rejim Zionis membayar elaun yang besar kepada pendatang Yahudi yang melakukan jenayah ke atas penduduk Palestin.

Dakwaan tersebut ditegaskan dengan memberi contoh kes pendatang Yahudi Yoram Skolnik, yang menembak mati Musa Abu Sabha pada bulan Mac 1993, ketika mangsa terbaring dalam keadaan mukanya tersembam ke tanah dan tangannya diikat ke belakang. Kejadian tersebut berlaku berdekatan kawasan penempatan haram Susia di kota al-Khalil.

Skolnik diberi gaji bulanan di samping bayaran insuran. Selain itu, beliau juga diberi bantuan kewangan oleh pihak rejim untuk memulakan perniagaan selepas dibebaskan dari penjara. Bahkan pihak berkuasa meminda hukuman penjara seumur hidup ke atas beliau kepada hukuman penjara selama hanya lapan tahun.

90% daripada pendatang Yahudi yang dihukum penjara selepas membunuh penduduk Palestin dibebaskan semula dan diberi dukungan undang-undang dan sosial, di samping jaminan perlindungan penuh daripada tindakan undang-undang.

Mereka diberi layanan seperti pejuang negara, sepertimana sanjungan ke atas Yehuda Etzion, Yitzhak Nir, Menachem Livni, Natan Zon, Israel Zach dan ahli-ahli Pertubuhan Rahsia Yahudi yang dihukum bersalah meletupkan rumah-rumah dan kenderaan-kenderaan milik Datuk Bandar Nablus Bassam Al-Shaqa’, Datuk Bandar Ramallah Kareem Hana Khalaf, dan Datuk Bandar Al-Bireh Ibrahem Al-Taweel pada tahun 1984.

Pengganas Yoram Hatnhl yang membunuh keluarga Dawabsheh di perkampungan Douma juga dibayar gaji bulanan sebanyak 600,000 shekel (RM672,150) setahun.

Sebahagian daripada penjenayah tersebut diberi jawatan di pejabat Benjamin Netanyahu sebagai penasihat.

(MEMO, PNN)

SHARE