Pendatang Yahudi ratakan tanah pertanian Palestin di utara Tebing Barat

NABLUS, 22 Mei 2016 (Maan) — Pendatang Yahudi pagi tadi meratakan tanah pertanian milik penduduk Palestin di daerah Nablus dan Salfit di utara Tebing Barat.

Tanah di perkampungan Jalud di selatan Nablus diratakan untuk meluaskan penempatan haram Shvut Rachel, di mana beberapa buah rumah pendatang Yahudi sedang dibina.

April lalu pihak rejim menyerahkan notis kepada penduduk Jalud, menyatakan bahawa tanah persendirian seluas 5,000 dunam (1,250 ekar) akan dirampas. Ia merupakan satu tindakan yang dilihat sebagai langkah untuk menghalalkan dan meluaskan pos haram pendatang Yahudi di Shvut Rachel. Pemimpin Zionis Banjamin Netanyahu telah meluluskan pembinaan 94 unit rumah untuk pendatang Yahudi di pos haram tersebut.

Pendatang Yahudi turut meratakan tanah berdekatan sebuah pos haram Yahudi yang didiami oleh ahli-ahli pertubuhan Gaolat Etzion. Pertubuhan tersebut mendakwa kononnya semua wilayah asal Palestin sepatutnya menjadi sebahagian daripada negara haram Yahudi itu.

Manakala di barat Salfit, pendatang Yahudi meratakan tanah bagi membina insfrastruktur pembinaan ratusan unit rumah di kejiranan Yahudi Leshem yang baharu diisytiharkan di dalam blok penempatan haram Areil.

Timbalan pengarah Pertubuhan Zionis Sedunia mengisytiharkan Leshem sebagai sebuah penempatan baharu Yahudi sungguhpun rejim Zionis sendiri masih belum berbuat demikian atas alasan teknikal.

Pembinaan di Leshem dibuat sejak tahun 2012 lagi, di mana sebanyak 694 unit rumah Yahudi akan dibina di atas tanah seluas 495.8 dunam (122.5 ekar).

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts