BAITULMAQDIS, 24 Okt 2018 — Polis Zionis merampas sebuah rumah keluarga Palestin di bandar Silwan, selatan Masjid al-Aqsa, selepas memaksa semua penghuninya keluar dengan ugutan muncung senjata dan kemudian menyerahkan rumah tersebut kepada kumpulan pendatang Yahudi, Ateret Cohanim, pagi tadi.

Tentera Zionis mengiringi pekerja-pekerja pihak perbandaran Zionis menyerbu bandar Silwan di awal pagi dan mengarahkan rumah yang terletak di kejiranan Batn al-Hawa itu dikosongkan.

Rumah tersebut disewa oleh keluarga Jawad Abu Sheiheh, yang baru-baru ini telah ditangkap dan diharamkan memasuki kota Baitulmaqdis kerana enggan mengosongkan rumahnya.

Kini semua 11 ahli keluarganya tidak lagi mempunyai tempat berteduh.

Rumah mereka merupakan sebahagian daripada bangunan lima tingkat, di mana semua rumah-rumah lain dalam bangunan tersebut telah dirampas oleh pendatang Yahudi sejak tahun 2015.

Sejak 2002, lebih 700 penduduk Palestin telah dihalau keluar dari rumah-rumah mereka di Batn al-Hawa. Rumah-rumah mereka diserahkan kepada Benvenisti Trust, yang mendakwa telah membeli tanah di situ pada lewat tahun 1800-an untuk menempatkan pendatang Yahudi dari Yaman.

Ratusan penduduk Palestin yang tidak dapat memasuki tanah dan rumah mereka akibat proses perundangan yang sangat lama dan mahal untuk membantah tuntutan pertubuhan Yahudi di mahkamah Zionis.

(PIC, PNN, Alray)

SHARE