BANDAR BARU BANGI, 21 Mei 2015 (BHP) — Serangan tentera Zionis pada musim panas lalu bukan sahaja memusnahkan harta, ekonomi serta sosial penduduk Gaza, tetapi juga mendedahkan ribuan kanak-kanak yang terus berhadapan dengan kecacatan, tekanan psikologi dan trauma. Sekatan berterusan oleh rejim Zionis dan junta tentera Mesir yang dikeruhkan lagi dengan sikap membisu serta isolasi masyarakat antarabangsa menambakkan lagi permasalahan mereka .

Statistik pertubuhan Medical Rescue menunjukkan 13% daripada kecacatan yang dihadapi penduduk Gaza adalah berkaitan pendengaran. Refleksi negatif terhadap mereka yang mempunyai masalah pendengaran ini membawa kesan psikologi ke atas keluarga dan komuniti, serta menyebabkan mereka ketinggalan dalam pelbagai lapangan termasuk pendidikan.

HALUAN melalui kerjasama Al-Amal For Development & Social Care menyahut tanggungjawab terhadap masyarakat Gaza ini dengan menjayakan projek keutamaan bagi mengesan dan merawat kecacatan pendengaran dan pertuturan di kalangan kanak-kanak dan remaja.

Projek yang dilaksanakan selama tiga bulan itu telah membuka harapan baru kepada seramai 1,275 orang kanak-kanak dan remaja serta memberi manfaat secara langsung kepada keluarga dan komuniti mereka.

Menurut Ketua Biro HALUAN Palestin, Dr Mohd Arba’ai Shawal, projek tersebut melibatkan tiga fasa utama iaitu sesi kaunseling khas untuk cuba memulihkan mereka yang mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan. “Kemudian kita mengenalpasti mereka yang benar-benar memerlukan alat bantuan pendengaran untuk dipasang alat tersebut dan dilatih melalui sesi terapi. Akhirnya kita menjalankan kempen kesedaran sebagai persiapan mereka berhadapan dengan krisis di masa hadapan,” kata beliau.

“Alhamdulillah dana yang diamanahkan oleh masyarakat Malaysia melalui HALUAN ini telah kami manfaatkan kepada seramai yang mungkin. Dengan keterbatasan dana yang ada, kita berjaya memilih 1,000 orang kanak-kanak dan remaja untuk melalui terapi pendengaran dan perbualan. Kemudian kita juga membuat ujian pendengaran secara menyeluruh ke atas 250 orang kanak-kanak, di mana dari situ kita mengenalpasti mereka yang benar-benar memerlukan alat bantuan pendengaran,” jelas Dr Mohd Arba’ai.
Sesi bimbingan dan kaunseling juga diadakan bagi 25 orang kanak-kanak untuk mengurangkan kesan masalah pendengaran dan pertuturan yang mungkin boleh membawa kecacatan lain seperti bisu.

HALUAN mengucapkan setinggi penghargaan kepada mereka yang telah menyumbang wang dan tenaga bagi menjayakan projek bantuan untuk Palestin ini. Semoga semua sumbangan yang dihulurkan bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada masyarakat Palestin, bahkan juga membawa keberkatan dan kesejahteraan masyarakat Malaysia di dunia dan akhirat.

Teruskan sumbangan derma anda untuk Palestin di akaun Tabung Palestin HALUAN
Maybank Berhad : 5644-9020-8528
Bank Islam Malaysia Berhad : 14-023-01-003429-2.

SHARE