Ramadhan Bersama Huffaz 1434H : UTeM Bantu Mereka Yang Memerlukan

MELAKA, 24 Julai 2013 — Ramadhan mendidik umat Islam membersihkan hati dengan sifat-sifat mulia dan kasih sayang, sekaligus mengeratkan ukhuwah dan meningkatkan budaya bantu-membantu.

Pusat Islam Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini telah menganjurkan Majlis Iftar Bersama Tun Canselor 1434H bagi tujuan meningkatkan lagi kefahaman tentang kelebihan dan hikmah bulan Ramadhan di samping mengeratkan integrasi seluruh warga universiti melalui pembudayaan sifat-sifat mulia (mahmudah). Majlis ini menjadi lebih bermakna dengan kehadiran imam hafiz dari Palestin, Sheikh Hani Rafiq Hamid Awadh.

Sheikh Hani merupakan seorang ahli Rabitah Ulama Palestin, disamping menjadi ahli Majlis Al-Quran dan Dakwah dan ahli Majlis I’jaz Al Quran di Gaza, Palestin. Beliau memegang Sanad Al Quran riwayat Hafs An-Aasim serta beberapa Sanad Kitab Hadith seperti Hadith Arbain dan Muwatto’.

TYT Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob merangkap Canselor UTeM bersama-sama anggota Senat Universiti, pimpinan Kerajaan Negeri Melaka, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), kakitangan UTeM dan para tetamu khas telah bermesra dengan 300 orang penerima bantuan di majlis mulia itu.

Turut hadir adalah Naib Canselor UTeM YBhg. Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan, Pro Canselor YBhg. Tan Sri Datuk Dr Johari Bin Mat dan ahli-ahi Lembaga Pengarah UTeM. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIM, Hj Abdul Halim Tawil juga turut menyerikan majlis.

Majlis yang diadakan di Masjid Saidina Abu Bakar, Pusat Islam itu bermula dengan acara penyerahan sumbangan Hari Raya oleh Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff dan diikuti dengan majlis berbuka puasa. Sheikh Hani telah memimpin solat Maghrib, Isya’ dan sunat terawih berjemaah.

Hadirin juga telah dapat mendengar nasihat (taujihat) Mufti yang disampaikan oleh Tn Hj Abd Halim Tawil. Beliau kemudiaannya menyerahkan sumbangan untuk rakyat Palestin melalui HALUAN.

Pengarah Pusat Islam, Dr. Radzuan Nordin, merakamkan ucapan terima kasih kepada HALUAN kerana dapat membawa Imam Palestin bagi menjayakan majlis tersebut. Beliau amat berharap program seperti ini dapat diteruskan di masa hadapan.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Related Posts