GAZA, 13 Feb 2018 — Perkhidmatan rawatan kesihatan di Hospital al-Shifa terhenti semalam, pertama kali sejak ia ditubuhkan pada tahun 1964, berikutan mogok yang dilancarkan oleh staf penjaga kebersihan.

Al-Shifa merupakan pusat rawatan kesihatan yang terbesar di Gaza.

Pengarah al-Shifa, Medhat Abbas, memberi amaran ratusan pesakit berhadapan dengan ancaman kehilangan nyawa sekiranya situasi yang berlaku tidak diselesaikan segera.

Staf penjaga kebersihan tidak dapat meneruskan kerja mereka kerana timbunan buangan perubatan di pusat-pusat rawatan dan klinik-klinik di seluruh Gaza. Ia menimbulkan keadaan yang tidak sihat ke atas para pekerja dan pesakit.

Sebanyak 200 pembedahan di al-Shifa terpaksa ditangguhkan kerana dibimbangi tercemar akibat keadaan tersebut.

Menurut Medhat, para pekerja tidak boleh dipaksa bertugas kerana mereka tidak dibayar gaji sejak lima bulan lalu dan persekitaran yang tidak selamat.

Al-Shifa kini terpaksa beroperasi pada kadar minima, dengan hanya melibatkan jabatan kecemasan termasuk unit rawatan rapi, bilik pembedahan, wad obstetrik dan unit rawatan khas bayi.

Ahad lalu, Kementerian Kesihatan mengeluarkan amaran bahawa mogok tersebut akan memberi kesan kepada operasi 40 bilik bedah, 11 unit bersalin, serta 110 pesakit dalam ICU, 113 bayi dalam unit bersalin dan 702 pesakit buah pinggang.

(MEMO)

SHARE