NAZARETH, 26 Feb 2018 — Mesyuarat mingguan kabinet Zionis semalam meluluskan pembinaan sebuah kejiranan baharu dengan 350 buah rumah di kawasan penempatan haram Gush Etzion di selatan Beit Lahm.

Kejiranan tersebut akan menggantikan perumahan pendatang Yahudi yang diarah keluar dari pos penempatan haram Netiv Ha’avot di selatan Beit Lahm.

Pada bulan Disember 2016, Mahkamah Tinggi Zionis memutuskan untuk meroboh 15 buah rumah di Netiv Ha’avot kerana dibina di atas tanah persendirian penduduk Palestin. Penempatan tersebut sepatutnya diroboh dalam minggu pertama bulan Mac 2018, tetapi ditangguhkan sehingga 15hb Jun.

Pada 23hb Disember 2016, Majlis Keselamatan PBB meluluskan deraf resolusi yang mendesak dihentikan semua pembinaan penempatan Yahudi di atas tanah penduduk Palestin.

Bagaimanapun, selepas insiden kematian seorang pendatang Yahudi akibat ditikam tiga minggu lalu, pemimpin Zionis Benjamin Netanyahu mengarahkan satu kajian bagi membina 800 buah rumah di kawasan penempatan haram Har Brakha, selatan Nablus.

(PIC)

SHARE