Rejim Zionis akan halau seluruh penduduk dua buah perkampungan Palestin

AL-QUDS, 5 Sep 2017 — Pertubuhan hak asasi B’Tselem hari ini menyatakan bahawa rancangan tentera Zionis menghalau seluruh penduduk serta memusnahkan dua buah perkampungan Palestin di Tebing Barat merupakan satu jenayah perang baharu.

Menteri Perang Zionis Avigdor Lieberman minggu lalu membuat kenyataan untuk memusnahkan dua buah perkampungan Badwi Palestin, Susiya di selatan wilayah al-Khalil dan Khan al-Ahmar di timur laut wilayah al-Quds, atas alasan ianya di bina di Kawasan C tanpa kebenaran.

Perjanjian Oslo II membahagikan Tebing Barat kepada tiga Kawasan; A, B dan C. Kawasan A yang asalnya meliputi seluas 18% wilayah Tebing Barat merangkumi semua kawasan kota-kota Palestin ditadbir sepenuhnya oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Kawasan B yang merupakan kawasan luar bandar asalnya membentuk 22% daripada Tebing Barat. Pentadbiran di kawasan ini adalah di bawah PA, tetapi kawalan keselamatan di bawah kuasa penuh tentera Zionis.

Manakala Kawasan C meliputi 60% daripada Tebing Barat, iaitu seluas 330,000 hektar, dikawal sepenuhnya oleh rejim Zionis. PA hanya bertanggungjawab dalam hal perkhidmatan pendidikan dan perubatan untuk penduduk Palestin di kawasan ini.

Menurut Konvensyen Geneva Ke-4, tindakan mengusir keluar penduduk di kawasan yang dijajah adalah satu bentuk jenayah perang.

Tindakan memusnahkan keseluruhan perkampungan Palestin tidak pernah dilakukan sejak tahun 1967.

Sekitar 31 keluarga tinggal di perkampungan Susiya. Rejim Zionis ingin memusnahkan perkampungan tersebut untuk membina laluan menghubungkan penempatan haram Susila ke dua buah pos penempatan haram berdekatan di sebekh utara.

Manakala 21 keluarga tinggal di Khan al-Ahmar, yang bakal dimusnahkan untuk meluaskan kawasan penempatan haram Ma’ale Adumim.

(PIC, Maan)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts