Rejim Zionis rancang bina sinagog di Masjid al-Aqsa

BAITULMAQDIS, 17 Feb 2019 — Ahli akademik dan pakar hal ehwal Palestin, Jamal Amr, Khamis lalu mendakwa rejim Zionis merancang untuk membina sebuah sinagog di perkarangan Masjid al-Aqsa.

Menurut Jamal, sinagog tersebut akan dibina di Pintu al-Rahma yang kini dikawal penuh oleh tentera Zionis. “Sesiapa sahaja yang mendekati kawasan tersebut akan terus ditangkap,” kata beliau. “Rejim Zionis sedang membina prasarana baharu di Pintu al-Maghareba, namun apa yang sedang berlaku di Pintu al-Rahma adalah lebih merbahaya.”

Rejim Zionis merancakkan penempatan Yahudi dan projek Yahudisasi di Baitulmaqdis, khususnya berdekatan Masjid al-Aqsa. Sehingga kini mereka telah membina 190 buah sinagog di sekitar kawasan dan di bawah tapak suci itu.

“Pintu al-Rahma akan menjadi sebuah sinagog baharu di jantung Masjid al-Aqsa,” kata beliau. Bagi pelampau-pelampau Yahudi, Pintu al-Rahma adalah lebih baik dan strategik berbanding Dataran al-Buraq kerana ia berdekatan dengan Kubah as-Sakhra’. Rejim Zionis telah menguasai dan membina sebuah stesen polis di kawasan tersebut.

Penguasaan rejim Zionis ke atas Pintu al-Rahma juga merupakan satu lagi langkah bagi mereka membahagikan kawasan tapak suci itu antara penganut Yahudi dan umat Islam.

(PIC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts