Setelah setengah tahun Intifadah al-Quds tercetus, Zionis masih buntu

Intifadhah Al-Quds sudah berlansung enam bulan, namun para pakar dan penyelidik rejim Zionis masih gagal menemui cara ampuh untuk menghentikannya. Ini membuatkan agensi keselamatan Zionis menerapkan langkah berjaga-jaga agar ada usaha keluar dari krisis tersebut dengan kerugian yang minimum.

Pakar ketenteraan di Institut Antarabangsa bagi Memerangi Keganasan di Herzliya, Prof. Boaz Ganor, dalam analisanya bertajuk “Hasil Intifadah Individual” cuba menghurai peristiwa ini dan mencari penyelesaiannya.

Rejim Zionis memberi pelbagai label kepada kebangkitan ini; dari Intifadah Ketiga, Intifadah Pisau, Intifadhah Kanak-Kanak, Intifadah Individual, Intifadah Al-Aqsa, Intifadhah Rakyat, Keganasan Pisau, hinggalah Operasi Serigala Diaspora.
Mereka masih tidak dapat menemukan istilah yang dapat menterjemah fenomena ini; apakah sebuah gelombang atau Intifadah, apakah yang melakukan adalah serigala secara bersendirian atau bebas atau terancang secara organisasi? Apakah punca yang mencetusnya terkait dengan kejadian di Al-Aqsa atau reaksi massa atas keadaan ekonomi atau kebangsaan. Menurut beliau, perkara ini dikenalpasti agar dapat dicarikan jalan penyelesaiannya.

Gelombang Berbahaya

Menurut Ganor, apa yang dihadapi oleh negara haram Zionis itu ketika ini adalah gelombang berbahaya dari operasi ‘keganasan’. Berbeza dengan gelombang kekerasan sebelumnya (Intifadah), kali ini lebih bergantung kepada senjata putih (pisau) dan rempuhan, yang dilakukan sendiri-sendiri. Gelombang serangan kali ini dilakukan oleh hanya sekitar 300 orang.

Ganor masih mempersoalkan apakah gelombang ini akibat ketegangan di Al-Aqsa, atau kerana pemerintahan yang lemah, atau kerana terkait dengan keganasan antarabangsa kerana pengaruh Kebangkitan Arab? Beliau meminta agar agensi keselamatan Zionis dan para perisik menentukan gejala tersebut dan mengambil langkah yang tepat.

Ganor lupa bahawa bangsa Palestin dalam setiap fasa sejarah selalu dan sentiasa melawan penjajah Zionis, selalu membela hak dan harga diri serta tempat suci mereka. Dia lupa bahawa bangsa Palestin adalah mangsa bukan pelaku kejahatan atau yang memulai permusuhan. Apa yang dilakukan oleh pemuda Intifadah adalah reaksi atas penjajahan dan tindakan kekerasan rejim Zionis dan pendatang Yahudi.

Individu atau Organisasi, dan Motif

Ganor mengakui bahawa aksi ‘keganasan’ individual ini terkadang lebih berbahaya dan berdarah daripada aksi yang melibatkan organisasi. Namun pihak individu tersebut menurutnya terpengaruh oleh hasutan dari organisasi.

Ganor cenderung menyebut bahawa aksi ini bersifat peribadi yang tidak terancang, yang dilakukan generasi masih sangat muda bahkan kanak-kanak yang perancangannya mereka sampaikan di Facebook atau Twitter, atau kerana balas dendam.

Keringkan Sumber

Menurut Ganor, rejim penjajah Zionis harus mencegah gelombang kebangkitan ini dengan ‘mengeringkan tanah’ tempat tumbuhnya kekerasan, pelampau dan keganasan. Bahkan mereka harus berusaha menggagalkan setiap aksi yang akan terjadi. Dia mendakwa bahawa aksi ini muncul juga kerana hasutan organisasi-organisasi Palestin, kebuntuan politik, kekecewaan sosial dan ekonomi dalam masyarakat Palestin yang menimbulkan perasaan benci dan dendam kepada entiti Yahudi.

Ganor juga berharap arag pihak rejim mencari penyelesaian politik dan melakukan reformasi ekonomi bekerjasama dengan pihak-pihak lain dalam masyarakat dan dengan Pihak Berkuasa Palestin (PA), sungguhpun Ganor sendiri mengakui bahawa sampai saat ini rejim Zionis tidak mempunyai perancangan tersebut kerana masyarakat Yahudi menolaknya.

Ganor lupa bahawa tidak ada penyelesaian bagi kebangkitan ini kecuali mengembalikan hak-hak bangsa Palestin yang terampas. Penyelesaian ekonomi dan politik hanyalah usaha untuk mengaburi pandangan masyarakat umum. Sudah terang-terangan siang malam, rejim Zionis bekerjasama dan berkoordinasi dengan pihak keselamatan PA untuk membendung dan menghentikan Intifadah.

Kekecewaan Rejim Penjajah Zionis

Menurut Ganor, rejim Zionis saat ini kecewa kerana gagal mencari penyelesaian bagi menghadang gelombang aksi kebangkitan. Mereka masih bingung untuk menghadang gelombang ini kerana agensi perisikan dalam negeri, Shabak, tidak mampu menghidu operasi yang akan dilakukan oleh anak-anak Palestin.

Di antara taktik hina dan keji yang diambil oleh rejim penjajah ini adalah dengan menahan mayat orang Palestin yang mereka bunuh. Sejak pertengahan Oktober lalu, mereka menahan lebih 80 mayat syuhada Palestin. Pihak rejim hanya menyerahkan mayat-mayat kepada keluarga mereka sedikit demi sedikit bermula Disember lalu.

Ganor juga membuat penilaian bahawa tindakan rejim Zionis menghancurkan rumah-rumah keluarga penyerangan dan syuhada, pengusiran mereka, dan tindakan-tindakan lain yang berkaitan ternyata lebih sering mencetuskan gelombang perlawanan dan dendam baharu yang semakin parah.

Kajian yang dilakukan oleh Ganor ini sesungguhnya mencerminkan realiti sebenar rejim penjajah Zionis yang sedang semakin tumbang dan tergoncang. Negara haram itu tidak ubah seperti orang sakit yang kehilangan daya tahan, sehingga akan mudah sakit sekalipun sakit ringan. Mereka secara terus menerus merasakan pukulan dari kelompok perlawanan dan kebangkitan. Saat ini perlawanan boleh disimpulkan sebagai pihak yang paling kuat, yang mampu bertahan lama dan tidak akan sekali-kali menyerah kalah.

———

Terjemahan Umar Ismail dari artikel asal yang diterbitkan di Pusat Informasi Palestina.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts