Sikap Zionis Terhadap Islam dan Palestin

Kerajaan Zionis Israel mempunyai pelbagai cara di dalam usaha menjustifikasikan penjajahan mereka ke atas bumi Palestin. Samada ianya dilakukan di peringkat antarabangsa melalui agensi-agensi mereka di seluruh dunia. Di peringkat dalaman pula, media dan juga sistem pendidikan mereka menjadi satu jentera propaganda yang paling utuh dan utama di dalam mendoktrin rakyatnya sendiri.

Majalah al-Ma’rifah keluaran Arab Saudi pada tahun 1997 misalnya telah mengemukakan kajian terhadap silibus pembelajaran Bahasa Ibrani di seluruh sekolah-sekolah Israel yang berunsur perkauman. Ribuan kajian lain juga telah dilakukan, samada oleh ahli akademik dari luar mahupun dari dalam tanah jajahan kerajaan Zionis Israel sendiri telah membongkarkan perkara yang sama. Malangnya, oleh kerana rejim Zionis mempunyai tempat yang terlalu istimewa di dalam hegemoni AS ke atas penduduk dunia, perkara sedemikian tidak menjadi satu kesalahan.

Hal yang berlainan jika ianya dilakukan oleh negara-negara Islam. Sebagai contohnya, selepas peristiwa 911 kerajaan di negara-negara Arab telah digesa oleh AS untuk merombak kembali sistem pendidikan mereka. Segala teks samada ianya dari al-Quran mahupun dari al-Sunnah yang disifatkan perkauman ataupun mempunyai unsur-unsur sentimen ianya wajib dibuang dari silibus pendidikan mereka. Maka, negara-negara Arab yang diperintah oleh diktator yang takutkan AS dengan taat dan patuh segera merombak silibus pendidikan mereka. Malang sekali, silibus yang lebih ekstrim dan bersifat perkauman melampau di dalam sistem pendidikan Zionis tidak pula mendapat perhatian AS.  Mentaliti seperti ini amat tidak pula berlaku di bumi Palestin yang dijajah.

Di dalam 20 stesen televisyen yang beroperasi di tanah Gaza dan Tebing Barat, terdapat sebuah stesen yang dikuasai oleh para aktivis pro-HAMAS. Stesen televisyen al-Aqsa telah dikendalikan sepenuhnya oleh para aktivis pro-HAMAS telah menjadi sebuah stesen televisyen Islam yang mementingkan unsur pendidikan dan kerohanian rakyat Palestin. Stesyen al-Aqsa itu juga menjadi agen untuk menyedarkan rakyat Palestin mengenai tanggung jawab mereka untuk memerdekakan bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa yang dijajah. Stesyen yang menjadi keminatan ramai rakyat Palestin dan juga warga Arab di luar Palestin ini juga telah berjaya mendapatkan ramai penonton setia dari semua lapisan masyarakat. Hatta golongan kanak-kanak pun turut meminati stesyen televisyen tersebut.

Antara rancangan yang paling diminati oleh kanak-kanak Palestin di dalam siaran stesyen televisyen tersebut ialah rancangan “Ruwaad al-Ghad” (Peneraju hari esok). Rancangan yang dikendalikan oleh Hazim al-Sha’rawi (pembantu pengarah stesyen televisyen al-Aqsa) itu telah menonjolkan watak ala Mickey Mouse bernama “Farfur”. Farfur sentiasa membawa mesej yang positif kepada anak-anak Palestin seperti menyuruh mereka solat, menghafal al-Quran, belajar bersungguh-sungguh, menghormati ibu bapa dan lain-lain lagi. Farfur juga menggambarkan kehidupan dan mentaliti sebenar majoriti rakyat Palestin. Farfur misalnya membicarakan bagaimana rumahnya telah dirobohkan, beg dan buku sekolahnya tidak dapat diselamatkan. Farfur juga mengisahkan tentang rumah, tanah dan juga negaranya yang dirampas oleh penjajah Zionis Israel. Di samping itu, Farfur juga sentiasa membawa mesej perjuangan kepada kanak-kanak Palestin dengan mengingatkan mereka terhadap hak mereka, perjuangan memerdekakan tanah air mereka yang dijajah dan juga tentang kezaliman pihak penjajah.

Malangnya siaran ini telah mendapat kritikan hebat di peringkat antarabangsa. MEMRI (Middle East Media Research Institute) telah menjadi peneraju kempen mengkritik siaran kanak-kanak tersebut. Mereka telah memutar belitkan fakta dengan mengubah terjemahan kata-kata Farfur menjadi kata-kata kesat demi menunjukkan bahawa rancangan tersebut berunsur keganasan dan perkauman. Laporan-laporan mereka juga amat prejudis dan memanipulasikan fakta. Hal sedemikian bukanlah sesuatu yang asing bagi MEMRI yang memang terkenal dengan sikap mereka yang bias dan pro-Zionis. MEMRI telah ditubuhkan oleh aktivis pro-Zionis Yigal Carmon dan Dr Meyrav Wumser pada tahun 1998 dan berpusat di Washington D.C. Wartawan Guardian, Brian Whitaker telah mendedahkan bahawa MEMRI merupakan agen propaganda Zionis dan pro-rejim penjajah Israel. Mereka berperanan untuk memaparkan wajah buruk Islam, para pejuang Palestin, rakyat Palestin dan segala aktiviti berkaitan Palestin. Hal ini diakui oleh Ken Livingstone, Datuk Bandar London dan juga William Rugh, mantan duta AS ke Yaman dan UAE. MEMRI juga merupakan sebuah NGO yang dikecualikan dari cukai oleh kerajaan AS. Malang lagi apabila maklumat yang mengelirukan oleh MEMRI ini disambut oleh kebanyakan media barat dan juga media-media pro-Zionis. Berbekalkan kenyataan-kenyataan dari pihak berkuasa rejim Zionis, mereka terus menerima bulat-bulat segala fitnah yang dilemparkan kepada rancangan tersebut dan turut melabelkannya sebagai rancangan yang berunsurkan indoktrinisasi keganasan.

Lebih menyedihkan apabila Palestinian Broadcasting Corporation yang dikuasai sepenuhnya oleh gerakan Fatah turut serta menghentam rancangan tersebut. Mereka seakan-akan berpihak kepada pihak Zionis di atas sebab-sebab tertentu. Mantan menteri penerangan di bawah kerajaan bersekutu Palestin, Mustafa Barghouti juga turut terpengaruh dengan tekanan yang dikenakan oleh kerajaan Zionis dan agen-agen mereka turut menggesa agar pihak pengurusan stesyen televisyen al-Aqsa mengkaji semula rancangan tersebut. Watak Farfur walau bagaimanapun hanya dapat bertahan selama kurang dari tiga bulan sahaja semenjak tarikh 13 April 2007 ketika ia mula muncul.
Pada 29 Jun 2007, watak Farfur telah dibunuh oleh seorang pengganas Israel yang telah memaksa beliau untuk menjual tanahnya. Pada 13 Julai 2007, watak Farfur telah digantikan oleh sepupunya, Nahoul, seekor lebah. Nahoul pada awal kemunculannya telah berjanji untuk menyambung kembali perjuangan sepupunya, Farfur.

Amat pelik melihat sikap MEMRI dan media barat yang membesarkan isu Farfur tetapi mengenepikan isu keganasan yang lebih besar dilakukan oleh rejim Zionis. Keganasan rejim tersebut ke atas kanak-kanak Palestin bukan lagi rahsia. Menurut Mustafa Barghouti, seperti yang telah dilaporkan oleh AFP pada 10 Mei 2007, sebanyak 120 kanak-kanak Palestin telah menjadi korban keganasan tentera Zionis semenjak bulan April tahun 2006 sehingga Mei 2007. Jumlah tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kanak-kanak Palestin tidak berdosa yang telah dibunuh oleh tentera Zionis kepada 853 orang semenjak tahun 2000. Jumlah ini tidak termasuk bilangan janin-janin dan bayi-bayi yang terkorban di dalam kandungan akibat keganasan tentera Zionis. Jumlah ini juga tidak termasuk bilangan kanak-kanak Palestin yang masih lagi berada di dalam penjara-penjara Zionis. Mengapakah fakta ini tidak didedahkan? Apakah pembunuhan ratusan nyawa kanak-kanak tidak berdosa ini lebih ringan daripada siaran Farfur? Amat malang bagi masyarakat dunia jika mereka dapat menerima logik Zionis dan AS ini

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts