Amerika telah secara terbuka memberi amaran kepada kerajaan Turki supaya tidak membenarkan konvoi pelayaran kemanusiaan ke Gaza. Kerajaan Turki bagaimanapun menegaskan mendakwa bahawa “Washington sepatutnya terlebih dahulu memberi amaran kepada Israel supaya tidak bertindak ganas.”

Sebagai usaha untuk mengelakkan berulangnya tragedi serangan ke atas kapal kemanusiaan Mavi Marmara pada 31 Mei tahun lalu, Pembantu Setiausaha Negara Amerika bagi hal ehwal Eropah dan Eurasia, Philip Gordon, secara terbuka menggesa Turki supaya memujuk pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia di negara itu untuk tidak menghantar flotila bantuan ke Gaza, dan cuba mencari kaedah lain untuk menyampaikan bantuan ke wilayah yang disekat rejim Zionis itu.

Serangan brutal tentera Israel ke atas aktivis kemanusiaan itu menyebabkan negara haram Zionis itu dikecam hebat oleh masyarakat antarabangsa. Sembilan orang terkorban dalam serangan itu, manakala lebih 60 yang lain tercedera.

Sebagai menjawab kenyataan Philip Gordon itu, kerajaan Turki mengulangi pendiriannya bahawa mereka tidak boleh memaksa mana-mana pertubuhan awam kerana ianya bertentangan dengan undang-undang negara itu. Turki seterusnya menyarankan supaya Amerika terlebih dahulu memberi amaran kepada Israel supaya tidak mengambil tindakan ganas.

“Pegawai-pegawai Amerika telah beberapa kali mengungkit isu flotila. Sebagai menjawab persoalan itu, kami berpendirian bahawa Turki bukanlah sebenarnya pihak yang harus dipertikai. Mereka seharusnya memberi amaran kepada pihak satu lagi (Israel),” kata seorang pegawai diplomat Kementerian Luar Turki, sebagaimana dipetik oleh Hürriyet Daily News semalam (Khamis.)

“Kami sebenarnya tidak pernah mengizinkan (pelayaran Mavi Marmara tahun lalu.) Negara kami mempunyai undang-undang, dan ada perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan oleh kerajaan,” kata pegawai diplomat tersebut. Menurut pegawai tersebut lagi, perancangan sebenar flotila bersama kapal Mavi Marmara adalah untuk berada di perairan antarabangsa sebelum mendapat kebenaran memasuki perairan Gaza. Malangnya, tentera Israel telah menyerang kapal tersebut mereka berada lebih 70km di perairan antarabangsa. Dalam laporan kepada suruhanjaya PBB, kerajaan Turki turut menyerahkan bukti berupa data staelite yang menunjukkan bahawa flotila tersebut sebenarnya tidak belayar ke arah Gaza ketika di serang.

Satu konvoi kemanusiaan dijankga berlepas bulan Jun depan, selepas pilihanraya umum Turki.

————-
Sumber berita: Hürriyet Daily News

SHARE