Berita pemergian mujahidah Indonesia untuk Palestin, Ustadzah Yoyoh Yusroh, diterima dengan penuh kesedihan dan keinsafan oleh setiap mereka yang saban hari berjuang membela bumi Palestin. Ustadzah Yoyoh meninggal dunia di Rumah Sakit Mitra Plumbon, Cirebon, setelah tidak sedarkan diri akibat kecederaan parah dalam satu kemalangan jalanraya di Cirebon, Jawa Barat pada hari Sabtu lalu, 12 Mei 2011.

Suami dan beberapa orang anak almarhumah turut tercedera dalam kemalangan tersebut.

Sejak puluhan tahun lalu, Ustadzah Yoyoh begitu gigih berjuang sebagai seorang daiyah yang istiqomah, menjadi pengasuh di pesantren tahfizh Al-Quran Ummu Habibah, Tanggerang di samping menjalankan kewajipan sebagai ibu kepada 13 orang anak. Lebih dari itu, almarhumah juga merupakan seorang pembela perjuangan rakyat Palestin yang sangat gigih.

Oktober tahun lalu, Ustadzah Yoyoh telah bersama-sama menyertai konvoi Viva Palestina 5, membawa sumbangan bantuan rakyat Indonesia kepada rakyat Gaza yang dizalimi Zionis. Sebelum itu pada bulan Julai 2010, almarhumah juga telah berjaya menembus pengepungan Zionis Israel dan memasuki Gaza bersama anggota-anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia.

Anggota Komisi I DPR dari Partai Keadilan Sejahtera (PKS) ini juga merupakan salah seorang tokoh wanita yang disayangi dan berjasa kepada masyarakat Indonesia. Jasa almarhumah pernah mendapat pengiktirafan oleh International Muslim Women Union (IMWU) tahun 2000, International Muslim Women Union (IMWU) tahun 2003, dan Mubaligh National dari Jabatan Agama Pusat tahun 2001.

Semoga Allah SWT memberikan pengiktirafan yang lebih besar kepada almarhumah Ustadzah Yoyoh. Juga didoakan semoga anak-anaknya yang masih dirawat segera disembuhkan Allah bagi meneruskan perjuangan ibu mereka.

Kami di HALUAN Palestin mendoakan agar ruh pembela al-Quds ini diterima dengan ridha oleh Allah, dan anugerahkan Allah di tempat yang terbaik. Allahummaghfirlaha warhamha wa ‘afiha wa’ fu ‘anha.

SHARE