Zionis menceroboh Gaza pada hari pertama rundingan damai

Rejim pengganas Zionis Israel menceroboh masuk ke Gaza pada hari pertama berlansungnya rundingan damai secara langsung antara Benjamin Netanyahu dan Mahmoud Abbas di Washington, di bawah tajaan Amerika.

Menurut laporan wakil PressTV di Gaza, Ashraf Shannon yang disiarkan semalam, Khamis 2 September, “Beberapa jam baru lalu, kereta-kereta kebal dan jentolak-jentolak telah memasuki bandar Beit Hanoun di utara Gaza…, di mana mereka memasang pagar keselamatan di kawasan zon penimbal” [buffer zone – kawasan berkecuali untuk memisahkan Beit Hanoun dari daerah yang dijajah Israel yang dibina dan diisytihar sendiri oleh rejim Zionis].

Zon sepanjang 300 meter itu bertujuan untuk menghalang sesiapa sahaja daripada mendekatinya, terutama sekali petani-petani Gaza. Pada hakikatnya, Zionis menguatkuasa kawasan larangan sepanjang 1000 meter di kawasan berkenaan. Sehingga hari ini, semua orang yang cuba memasuki kawasan berkenaan telah dibunuh, termasuklah wanita dan kanak-kanak dan juga petani.

Pencerobohan tentera Zionis di Bait Hanoun ini dilakukan ketika kedua-dua pemimpin negara haram Israel dan Otoriti Palestin bersedia untuk menyambung rundingan secara langsung yang terhenti sejak 20 bulan lalu, bilamana Zionis melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza di mana seramai 1,400 orang penduduk Gaza terkorban.

Dengan berpegang kepada hakikat bahawa Amerika adalah sekutu dan pendokong setia rejim pengganas Zionis Israel, rakyat Palestin tidak menaruh sebarang harapan terhadap usaha rundingan damai tersebut. Mereka mendakwa bahawa Mahmoud Abbas sebenarnya tidak mewakili majoriti rakyat Palestin. Malahan timbul pertanyaan di kalangan rakyat Palestin apabila Amerika enggan melibatkan Gerakan Pembebasan Hamas yang popular di kalangan rakyat dalam rundingan itu. Gerakan Pembebasan Hamas yang memerintah wilayah Gaza apabila memenangi pilihanraya pada tahun 2006 menjadi harapan kepada penduduk Gaza untuk mempertahankan daerah berkenaan daripada serangan dan kebiadaban berterusan tentera dan pemerintah Zionis.

Hampir 1.5 juta penduduk Gaza menderita sejak 4 tahun lalu apabila dikenakan embargo oleh rejim Zionis.

Laporan Ashraf turut menyebut, “Malam tadi, ketika mereka berunding di Washington, mereka langsung tidak menyentuh apa-apa perkara berkaitan Gaza. Oleh kerana itu, hari ini Gerakan Pembebasan Hamas dan Jihad Islami tidak mengiktiraf malahan menolak rundingan di Washington itu. Gerakan Pembebasan Hamas menegaskan sebarang persetujuan yang ditanda-tangani oleh Mahmoud Abbas adalah tidak sah dan tidak akan mengikat rakyat Palestin. Manakala Jihad Islami merujuk rundingan damai ini sebagai usaha awal kepada satu serangan baru ke atas negara-negara lain di Timur Tengah”.

Otoriti Palestin yang dipimpin oleh Mahmoud Abbas dilaporkan terpaksa menyambung rundingan secara langsung dengan pihak Zionis setelah diugut oleh pentadbiran Washington akan kemungkinan terputusnya hubungan Otoriti Palestin dengan Amerika.

Rundingan dan perjanjian damai sebelum ini gagal membuahkan sebarang hasil kerana pihak Zionis terus melanggar persetujuan, terutama sekali berkenaan perluasan kawasan penempatan haram Yahudi di atas tanah-tanah Palestin yang mereka rampas.

Manakal Reuters melaporkan bahawa kaum Yahudi terus menunjukkan sikap angkuh dan degil mereka dengan mengumumkan perancangan baru bagi membina lebih banyak lagi penempatan-penempatan haram. Sehingga kini, Tel Aviv tidak pernah memenuhi janji mereka untuk meninggalkan wilayah sempadan yang mereka jajah di Tebing Barat pada tahun 1967.

Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton yang menjadi orang tengah rundingan damai kali ini bagaimanapun menegaskan bahawa rundingan kali ini tidak harus dibatasi oleh sebarang syarat – satu cadangan yang disokong sepenuhnya oleh Benjamin Netanyahu.

Beberapa negara luar mengutuk usaha rundingan damai yang jelas mengabaikan kehendak majoriti rakyat Palestin ini. Rakyat Iran dijangka akan mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran pada hari Jumaat terakhir bulan Ramadhan sebagai menzahirkan sokongan mereka kepada rakyat Palestin. Imam Khomeini telah mengisytiharkan hari tersebut sebagai Hari Al-Quds. (mn/Reuters/PressTV)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Related Posts