14,400 mati didera dalam penjara di Syria

LONDON, 20 Julai 2020 — Seramai 14,423 orang telah didera sehingga mati sejak bermulanya perang di Syria pada tahun 2011.

Laporan petubuhan hak asasi Syrian Network for Human Rights (SNHR) yang berpengkalan di London mendedahkan 98 peratus daripada mangsa dibunuh oleh pihak pemerintah, rejim Bashar al-Assad.

Ia menyebut bahawa semua pihak-pihak utama dalam konflik di Syria terlibat dalam penderaan dan pencabulan hak asasi. Bagaimanapun, rejim Bashar merupakan dalang utama dengan membunuh lebih 14,249 orang melalui kaedah penderaan secara meluas.

Syrian Democratic Forces (SDF) dari kalangan puak Kurdish melakukan 52 penderaan hingga mati, manakala pasukan penentang rejim Bashar, Syrian National Army (SNA), bertanggunjawab ke atas 43 kematian. Kumpulan pengganas Daesh mendera sehingga terbunuh 32 mangsa dan kumpulan Hay’at Tahrir Al-Sham (HTS) melakukan perkara yang sama ke atas 26 orang. Baki 21 mangsa dibunuh oleh pihak-pihak lain.

Seramai 64 wanita dan 179 kanak-kanak turut menjadi mangsa, di mana mereka dibunuh oleh pasukan keselamatan rejim pemerintah.

“Rejim Syria mendera untuk membalas dendam ke atas pihak yang menentang,” lapor SNHR bulan lalu. Pertubuhan itu merekodkan 72 kaedah penderaan fizikal, psikologikal dan seksual digunakan oleh rejim ke atas mereka yang ditahan.

Ketika dalam tahanan, mangsa-mangsa dibiarkan dalam keadaan sanitasi yang sangat buruk, di mana kebanyakan penjara mengurung purata 50 mangsa dalam kurungan seluas hanya 24 meter persegi.

Sumber kumpulan penentang mendakwa terdapat sekurang-kurangnya 500,000 orang masih dikurung dalam penjara rejim Bashar. Sebahagian besar daripada mangsa dilarikan dari keluarga, di mana keluarga mangsa tidak mempunyai sebarang maklumat tentang lokasi atau keadaan mereka.

(MEMO)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts