BANDAR BARU BANGI, 9 Dis 2015 (BHP) — Genap 28 tahun yang lalu, rakyat Palestin telah melakukan sesuatu yang besar dalam kebangkitan mereka melawan penjajahan rejim Zionis. Seluruh bumi Palestin baik di Tebing Barat, Al-Quds Timur, Gaza dan bahkan wilayah jajahan Palestin 1948 sudah jerih menghadapi kezaliman penjajah sejak bertahun lamanya.
Amarah rakyat Palestin untuk bangkit dibakar dengan satu peristiwa yang membawa perubahan dan menjadi simbol perjuangan, sehingga lahirlah Intifadah Pertama.
Intifadah bermula dengan peristiwa sebuah trak yang dipandu oleh seorang Yahudi merempuh penduduk Palestin yang sedang beratur untuk pulang dari tempat kerja di Jabaliya, Gaza. Empat orang terkorban, sehingga membakar api kemarahan penduduk Palestin yang tersimpan selama ini menjadi suatu tidak dapat dibendung lagi.
Cetusan Intifadah Pertama ini mula membuka mata dunia, di mana media utama antarabangsa tidak dapat lagi mengabaikan paparan berita tentang kehidupan rakyat Palestin yang tertindas di bawah rejim zionis. Semua pihak menjadi tertarik kepada intifadah.
Intifadah Pertama yang berlangsung dari tahun 1987 hingga 1993 adalah satu bentuk kebangkitan secara aman, tanpa senjata atau tindakan provokasi. Penduduk Palestin melakukan demonstrasi aman, membalas keganasan bersenjata tentera Zionis dengan membaling batu, melakukan mogok, menolak arahan membayar cukai kepada pihak berkuasa rejim Zionis dan menyebar luas mesej keadilan.
Namun ia tidak pernah dibalas secara aman oleh tentera Zionis. Bahkan pemimpin rejim Zionis ketika itu, Yitzhak Rabin, memerintah tenteranya supaya mematahkan tulang rakyat dan anak-anak Palestin yang melawan. Lebih seribu rakyat Palestin terkorban, termasuk kanak-kanak, dan puluhan ribu lagi mengalami kecederaan.
Kebangkitan ini juga membawa kepada penubuhan Harakah Muqawwamah Al Islamiyah (Hamas) pada 14 Disember 1987, yang sehingga ke hari ini tetap teguh memimpin rakyat Palestin menentang penjajahan. Gerakan yang wujud hasil gangingan As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin dan beberapa tokoh yang lain ini berjaya menggerakkan pemuda Palestin dalam memainkan peranan semasa intifadah secara sistematik sehingga mendapat perhatian masyarakat warga dunia yang cintakan keamanan. Ia sekaligus membuatkan rejim Zionis ditekan hebat oleh masyarakat antarabangsa.
Kebangkitan ini memaksa rejim Zionis mengambil strategi politik dengan mengiktiraf PLO, sebuah gerakan kebangsaan Palestin yang berjuang untuk kemerdekaan orang Arab Palestin. Intifadah Pertama dikatakan mula reda apabila termeterainya Perjanjian Oslo pada tahun 1993 di antara rejim Zionis dan PLO yang dipimpin oleh Yasser Arafat. Perjanjian ini pada hakikatnya adalah satu kedukaan kepada rakyat Palestin, kerana mereka kehilangan 77% daripada bumi Palestin kepada Yahudi Zionis. Hanya Gaza dan Tebing Barat sahaja yang tinggal bagi orang Arab Palestin. Bahkan, hampir keseluruhan isi Perjanjian Oslo tidak dijelaskan, sehingga rakyat Palestin berputih mata di kemudian hari.
Apakah iktibar yang boleh kita ambil dari Intifadah Pertama ini?
Intifadah adalah sebuah usaha para ulamak Palestin dalam membebaskan Masjid Al-Aqsa yang mulia. Ia diterajui oleh As-Syahid Sheikh Ahmad Yassin dengan misi yang jelas, iaitu membebaskan Al-Aqsa dari jajahan Zionis. Para ulamak Palestin amat memahami bahawa jalan kemerdekaan berdasarkan bangsa dan tanah air tidak akan sekali-kali menamatkan penjajahan.
Kita perlu melihat, Allah menjadikan isu Palestin seperti yang berlaku sekarang dengan membawa banyak hikmahnya. Yang pasti, Allah juga yang akan memenangkan Palestin. Itu urusanNya. Allah adalah sebaik-baik tempat memohon pertolongan dan kemenangan. Intifadah itu adalah salah satu dari hasil tarbiyah yang dilalui orang-orang Palestin yang kembali kepada Allah, yang menjadikan Allah sebagai matlamat.
Intifadah Pertama juga membawa kemenangan demi kemenangan kepada Palestin tersingkap, samada dalam aspek pertahanan mahupun politik. Keberkatan perjuangan semakin dirasai.
Pada tahun 2005, Gaza berjaya dibersihkan dari anasir Zionis. Meskipun pada tahun berikutnya pelbagai usaha balas dendam rejim Zionis dilancarkan, wilayah Gaza masih gagal ditawan semula sehingga ke hari ini. Usaha-usaha mereka tidak membuahkan hasil yang mereka ingini. Kegagalan demi kegagalan rejim Zionis akan membuahkan bibit-bibit kemenangan kepada Palestin. Kemenangan utama yang didoakan orang Palestin dan masyarakat dunia umumnya ialah pembebasan Masjid Al-Aqsa ke pangkuan umat Islam dan seterusnya pembebasan setiap inci bumi Palestin.
Hari ini kita melihat sendiri kebangkitan Intifadah Ketiga, yang merupakan kesinambungan siri intifadah terdahulu. Hakikatnya, intifadah masih masih belum selesai, kerana kemenangan Palestin ialah apabila umat Islam sujud di hadapan Allah, di halaman Masjid Al-Aqsa, yang ketika itu sudah merdeka!
————
Ditulis semula oleh Umar Ismail, Unit Media Biro HALUAN Palestin.