AL-QUDS, 4 Mei 2016 (Silwanic) — Tiga penduduk al-Quds dibunuh sepanjang April lalu, manakala 12 mayat masih ditahan oleh rejim Zionis.
Laporan bulanan yang diterbitkan oleh Pusat Informasi Wadi Hilweh semalam mendedahkan bahawa seramai 214 orang penduduk al-Quds ditangkap sepanjang bulan tersebut. Penangkapan ke atas warga emas turut meningkat.
Dalam tempoh yang sama seramai 1,868 pendatang Yahudi menceroboh masuk Masjid al-Aqsa, di mana 1,011 daripada mereka menodai kesucian masjid itu sepanjang lima hari perayaan Paskah Yahudi. Mereka bahkan cuba melakukan ritual sembelihan binatang di pintu-pintu masuk masjid.
Menurut laporan itu lagi, pihak berkuasa Zionis meningkatkan serangan ke atas jemaah Masjid al-Aqsa serta penduduk al-Quds dan harta mereka. Kumpulan besar tentera dikerahkan ke pintu-pintu masuk masjid dan kad pengenalan para jemaah dirampas.
72 orang jemaah al-Aqsa, termasuk 10 wanita, dipaksa keluar meninggalkan masjid. 11 pemuda diharamkan memasuki suluruh kawasan kota al-Quds. Empat lagi pemuda dihalau keluar dari Kota Lama al-Quds dan empat yang lain dikenakan tahanan pentadbiran tanpa sebarang pengadilan.
Laporan tersebut turut menyebut bahawa enam penduduk al-Quds kehilangan tempat tinggal apabila rumah mereka di tanah tinggi al-Mokaber dirobohkan. Manakala keluarga al-Seedawi dipaksa merobohkan sendiri sebahagian daripada bangunan rumah mereka di kejiranan Beit Hanina.