344 pesakit mati akibat sekatan rejim pengganas Israel

Menurut sumber-sumber dari pihak Palestin, seramai 344 orang pesakit telah meninggal dunia sejak berakhirnya serangan rejim pengganas Israel ke atas Gaza bulan Januari lalu. Mereka dikatakan menjadi mangsa kepada kekurangan bekalan perubatan akibat sekatan berpanjangan yang dikenakan oleh Israel.

Berdasarkan kepada laporan Kementerian Kesihatan Palestin, mangsa yang terkini adalah Omar Ata Allah Al Sha’er, 42 tahun, yang berasal dari bandar Rafah di selatan Gaza. Dengan kematian Al Sha’er, jumlah kematian rakyat Palestin akibat sekatan Israel yang dikenakan ke atas Gaza sejak Jun 2007 kini mencecah 344 orang.

Dokumen yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Palestin menunjukkan bahawa Al Sha’er telah mengalami masalah kegagalan buah pinggang yang kronik dan kesihatannya bertambah buruk, sedangkan pihak berkuasa Israel terus menghalang beliau daripada mendapatkan rawatan di luar negara walaupun semua dokumen perjalanan telah tersedia.

Kementerian Kesihatan merayu supaya dikenakan tekanan ke atas rejim pengganas Israel supaya sekatan ke atas Gaza dihentikan, seterusnya menghentikan sengsara yang dialami oleh ratusan pesakit yang sangat memerlukan rawatan di luar negara.

Dalam pada itu, satu laporan setebal 34 mukasurat yang dikeluarkan pada dari Sabtu lalu oleh Suruhanjaya Tinggi Hak Manusia PBB, Navi Pillay, mendesak Tel Aviv untuk menghentikan segera sekatan dan halangan-halangan yang dikenakan ke atas Gaza.

Pillay mengkritik rejim pengganas Israel secara kasar terhadap tindakan mereka mengenakan sekatan ke atas penduduk Gaza sejak beberapa bulan sebelum Operation Cast Lead, dan berterusan hingga ke hari ini.

Kira-kira 1400 rakyat Palestin, termasuk 900 orang awam, terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza, menurut pegawai-pegawai kesihatan Palestin dan juga beberapa badan hak asasi manusia. [mn/PressTV]

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts