35 cedera dalam bantahan perobohan al-Khan al-Ahmar

BAITULMAQDIS, 4 Julai 2018 — Seramai 35 penduduk Palestin tercedera ketika menyertai perhimpunan solidariti membantah rancangan rejim Zionis untuk meroboh perkampungan al-Khan al-Ahmar di kota Baitulmaqdis pada bila-bila masa.

Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, seramai empat orang terpaksa dikejarkan ke hospital manakala selebihnya dirawat di lapangan.

Dalam bantahan tersebut, seramai lapan orang ditangkap. Anggota polis Zionis turut menyerang seorang wanita, menanggalkan hijab beliau dan mengheretnya sebelum ditangkap.

Pagi tadi, tentera Zionis telah merobohkan beberapa struktur bangunan dan bangsal di kawasan perkampungan Abu Nuwwar yang berdekatan, sebagai persediaan untuk meroboh al-Khan al-Ahmar.

Bulan Mei lalu, Mahkamah Tinggi Zionis mengarahkan supaya perkampungan al-Khan al-Ahmar dirobohkan, atas alasan dibina tanpa permit. Seramai 180 penduduk Palestin tinggal di situ tanpa sebarang kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, ataupun klinik.

Penduduk di sini mempunyai sijil pemilikan tanah yang sah dan didaftar di bawah bandar ‘Anata yang berdekatan.

Perkampungan ini terletak dalam kawasan Projek E1, melibatkan rampasan seluas 1,200 hektar tanah penduduk Palestin dari Baitulmaqdis Timur sehingga ke Laut Mati. Ia bertujuan untuk memisahkan kawasan tengah Tebing Barat dari kawasan selatannya, dengan membina koloni penempatan haram serta pusat-pusat pasukan tentera dan polis.

Al-Khan al-Ahmar merupakan salah satu daripada 46 perkampungan Badwi di Tebing Barat yang bakal dirobohkan. Ia terletak dalam Kawasan C Perjanjian Oslo 1993, yang dikawal sepenuhnya oleh tentera Zionis.

(PIC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts