BEIT LAHM, 3 Julai 2017 (Maan) — Rejim Zionis akan menghalau lima keluarga Palestin di kejiranan Sheikh Jarrah, timur kota al-Quds, bagi memberi laluan kepada pembinaan dua buah bangunan apartmen penempatan haram yang menyediakan hampir 1,800 buah rumah kepada pendatang Yahudi.
Dua bangunan tersebut, masing-masing setinggi tiga dan lima tingkat, akan dibina di atas tapak rumah lima keluarga Palestin.
Keluarga terbabit dianggap sebagai penyewa tanah milik Yahudi, berdasarkan kepada undang-undang Zionis yang membenarkan seseorang Yahudi menjadi pemilik tanah sekiranya mereka dapat membuktikan tanah tersebut pernah menjadi milik mana-mana Yahudi sebelum tahun 1948. Undang-undang tersebut membenarkan pemilik untuk memusnahkan bangunan sedia ada bagi membina bangunan baharu.
Sebuah lagi bangunan setinggi sembilan tingkat juga akan dibina sebagai asrama pelajar Universiti Yeshiva dan ruangan pejabat.