UMM AL-FAHM, 8 Mei 2016 (PIC) — Pemimpin Pergerakan Islam di Wilyah Palestin 1948 yang terjajah, Sheikh Raed Salah, awal pagi ini meninggalkan rumahnya di kota Umm al-Fahm menuju ke penjara Ohalei Kedar di Beersheba untuk menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan.
Beliau dikenakan hukuman tersebut atas tuduhan menghasut ketika menyampaikan khutbah di Kota Lama al-Quds pada tahun 2007.
Ratusan penduduk hadir sebagai tanda sokongan ke atas tokoh yang juga terkenal sebagai Sheikh al-Quds itu. “Ianya adalah satu penghormatan bagi saya apabila dihukum penjara kerana Masjid al-Aqsa dan al-Quds. Saya menuju ke penjara atas kehendak Allah dan bukan kerana Benjamin Netanyahu,” kata beliau kepada hadirin.