PBB: Krisis Rohingya perlukan penyelesaian baharu

GENEVA, 22 Ogos 2020 — Agensi pelarian PBB, UNHCR, hari ini mendesak supaya penyelesaian baharu dicari bagi menyelesaikan krisis komuniti Rohingya yang ditindas sehingga menjadi pelarian dan tidak bernegara, samada di luar mahupun dalam negara Myanmar sendiri.

Kenyataan agensi tersebut menganggarkan kini seramai 900,000 daripada mereka menjadi pelarian di Bangladesh, tiga tahun selepas krisis kekejaman dan penginiayaan rejim junta Myanmar memuncak.

Dalam satu sidang media di Geneva, jurucakap UNHCR Andrej Mahecic berkata bahawa masyarakat antarabangsa harus terus memberi sokongan mereka kepada pelarian Rohingya dan negara pelindung, serta meluaskan usaha mencari penyelesaian.

“Tiga tahun selepas penghijrahan besar-besaran pelarian Rohingya meninggalkan Myanmar dan menumpang berteduh di Bangladesh dari bulan Ogos 2017, cabaran masih kekal bahkan terus berkembang,” kata Mahecic. “Dianggarkan sehingga tiga-per-empat daripada keseluruhan orang Rohingya kini menumpang hidup di luar Myanmar.”

Bangladesh mendaftarkan lebih 860,000 pelarian Rohingya di kem-kem sekitar Cox’s Bazar.

“Akhirnya, penyelesaian kepada krisis adalah di Myanmar, dengan melaksanakan secara menyeluruh cadangan Jawatankuasa Penasihat di Rakhine, yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Myanmar,” ulas Mahecic.

Beliau menegaskan bahawa Bangladesh telah menjamin perlindungan serta memberi sokongan kemanusiaan dan menyelamatkan nyawa pelarian dengan menumpangkan sembilan daripada 10 pelarian yang berdaftar di wilayah Asia-Pasifik.

“Kemurahan hati ini harus diiktiraf melalui pelaburan yang berterusan dalam komuniti pelarian Rohingya dan juga masyarakat Bangladesh yang melindungi mereka,” katanya.

Usaha mewujudkan suasana yang kondusif untuk komuniti Rohingya pulang dengan selamat dan mampan memerlukan penglibatan yang menyeluruh, memulihkan dan seterusnya meningkatkan dialog di antara pihak berkuasa Myanmar dan komuniti Rohingya, serta langkah-langkah lain yang dapat membantu membina keyakinan dan saling mempercayai, kata beliau lagi.

“Langkah-langkah ini termasuklah memansuhkan sekatan terhadap kebebasan untuk bergerak, memberi jaminan bahawa orang Rohingya yang menjadi pelarian dalam negaranya sendiri boleh pulang ke tempat asal mereka, serta merangka laluan yang jelas ke arah mendapatkan status kewarganegaraan,” kata Mahecic.

Menurut beliau lagi, kekuatan dan kecekalan orang Rohingya ketika hidup sebagai pelarian di Bangladesh dan tempat-tempat lain membentuk tulang belakang kepada bantuan kemanusiaan sepanjang tiga tahun lalu.

“Menghormati dan mengiktiraf keberanian dan keupayaan mereka bermakna memastikan mereka tidak dilupakan, menjelang tahun keempat krisis,” kata beliau lagi.

Orang Rohingya disifatkan oleh PBB sebagai komuniti paling teriniaya di dunia, dan terus berhadapan dengan kebimbangan diserang sejak peristiwa keganasan dan pembunuhan pada tahun 2012.

Menurut Amnesty International lebih 750,000 pelarian Rohingya, kebanyakannnya wanita dan kanak-kanak, meninggalkan Myanmar dan melintas ke Bangladesh selepas tentera Myanmar melancarkan serangan ke atas kaum minoriti Islam pada bulan Ogos 2017, meningkatkan jumlah mereka yang lari daripada penginiayaan ke Bangladesh kepada lebih 1.2 juta orang.

(Anadolu)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts