1. Beberapa bulan kebelakangan ini, dunia menyaksikan gelombang pengiktirafan baru oleh negara-negara Barat terhadap kewujudan sebuah “Negara Palestin”. Sepanyol, Ireland dan Norway membuka jalan pada 2024, dan kini pada September 2025 beberapa negara Eropah lain menyusul dengan langkah serupa.
Bagi sebahagian masyarakat antarabangsa, perkembangan ini dianggap sebagai satu kemenangan diplomatik dan bukti solidariti moral terhadap penderitaan rakyat Palestin.
2. Namun, persoalan yang tidak dapat dielakkan ialah: sejauh manakah pengiktirafan ini benar-benar membawa perubahan kepada realiti di lapangan?
Adakah ia satu sinar baru, atau sekadar retorik politik yang boleh membuka ruang lebih besar untuk Israel mempercepatkan rancangan menamatkan Palestin sebagai entiti berdaulat?
3. Dalam undang-undang antarabangsa, pengiktirafan sesebuah negara ialah tindakan kedaulatan yang mengesahkan kewujudan entiti politik tersebut.
Tetapi dalam konteks Palestin, istilah ini hadir dengan pelbagai syarat dan tafsiran. Ada negara yang menyatakan pengiktirafan hanya terpakai berdasarkan sempadan 1967; ada pula yang menekankan pengecualian terhadap mana-mana pihak yang dilabelkan sebagai pengganas.
Malah, hampir semua pengiktirafan terbaru ini diiringi dengan klausa bahawa langkah itu bertujuan “menyelamatkan” penyelesaian dua-negara yang semakin pupus.
4. Dengan kata lain, pengiktirafan itu bukan tanpa syarat. Ia tidak benar-benar memberikan Palestin status penuh, sebaliknya lebih mirip satu isyarat politik — mesej bahawa negara-negara Barat masih mahu mengekalkan naratif perdamaian, walaupun realitinya proses perdamaian sudah lama runtuh.
Siapa di dalam kerajaan Israel hari ini yang membawa idea solusi dua negara?
Tiada langsung.
5. Pengiktirafan negara-negara Barat terhadap Palestin boleh dilihat dari tiga dimensi.
6. Pertama, simbolik.
Ia memberi mesej moral kepada dunia bahawa kezaliman Israel tidak boleh dibiarkan berterusan. Ia juga menjadi bahan politik domestik untuk sesetengah kerajaan Barat, khususnya dalam menghadapi tekanan masyarakat sivil yang semakin vokal menuntut keadilan untuk Palestin.
7. Kedua, diplomatik.
Pengiktirafan ini membuka jalan untuk hubungan rasmi, kedutaan, dan sokongan kepada usaha Palestin untuk terlibat lebih aktif dalam badan-badan antarabangsa.
Daripada sudut teori, ia mengangkat Palestin daripada sekadar “pemerhati” kepada aktor yang diiktiraf dalam sistem antarabangsa.
Namun, kuasa besar seperti Amerika Syarikat masih berupaya menyekat akses penuh Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya di Majlis Keselamatan.
8. Ketiga, praktikal di lapangan.
Di sinilah jurang terbesar kelihatan. Walau seberapa banyak negara mengiktiraf Palestin, realiti di Tebing Barat dan Gaza tidak berubah: penempatan Israel terus berkembang, sekatan masih menjerut kehidupan seharian, dan kebebasan bergerak rakyat Palestin terus dinafikan.
Pengiktirafan tidak serta-merta mengubah struktur kuasa yang wujud, kerana kawalan sebenar masih di tangan Israel.
9. Di sinilah letaknya paradoks besar. Ketika negara-negara Barat meraikan pengiktirafan ini sebagai langkah berani, Israel pula mungkin menangguk di air keruh.
Selagi pengiktirafan itu hanya tinggal di atas kertas tanpa diiringi tindakan konkrit, Israel berpeluang menggunakan momentum ini untuk mempercepatkan agenda menguasai seluruh Palestin.
10. Bagaimana?
Pertama, Israel boleh berhujah bahawa “penyelesaian dua-negara” kini tinggal retorik kosong, kerana walaupun dunia mengiktiraf Palestin, tidak ada siapa yang mampu menghalang Israel meneruskan penempatan baharu.
Kedua, tindakan simbolik negara-negara Barat ini boleh memberi ilusi bahawa isu Palestin sedang “ditangani”, sedangkan di lapangan keadaan semakin parah.
Ketiga, Israel boleh menggunakan tindak balas diplomatik — memanggil pulang duta, memutuskan kerjasama — untuk menekan negara-negara yang mengiktiraf Palestin, sekali gus mengalihkan fokus daripada isu pendudukan itu sendiri.
11. Dengan kata lain, pengiktirafan yang tidak disertai mekanisme penguatkuasaan hanya menjadi retorik yang melemahkan Palestin, bukan menguatkannya.
Ia memberi ruang kepada Israel menutup pintu harapan dua-negara, dan memperkukuh status quo penjajahan.
12. Tidak dinafikan, ada motif lain yang terselindung di sebalik langkah pengiktirafan ini. Sebahagian kerajaan Barat berbuat demikian kerana tekanan domestik: rakyat mereka semakin lantang menuntut keadilan untuk Palestin, khususnya selepas krisis kemanusiaan yang berlarutan.
Sebahagian pula melakukannya untuk menunjukkan bahawa Kesatuan Eropah masih relevan sebagai pemain diplomasi global.
Ada juga yang melihat pengiktirafan sebagai taktik untuk “menghidupkan kembali” rundingan perdamaian, meskipun realiti politik menunjukkan rundingan itu tidak mempunyai asas yang kukuh lagi.
13. Pengiktirafan Barat terhadap Palestin sememangnya mempunyai nilai moral dan diplomatik. Ia melemahkan cubaan Israel untuk terus mengasingkan Palestin di pentas dunia, dan ia menambahkan legitimasi terhadap perjuangan Palestin untuk menentukan nasib sendiri.
Tetapi tanpa langkah praktikal — menghentikan penempatan, menjamin akses bantuan, membuka sempadan, dan menegakkan undang-undang antarabangsa — pengiktirafan itu akan kekal sebagai retorik yang semata-mata indah di atas kertas.
14. Malah, lebih berbahaya, ia berisiko mempercepatkan strategi Israel untuk menamatkan kewujudan Palestin sebagai entiti politik.
Ketika dunia sibuk menzahirkan solidariti simbolik, Israel bergerak di lapangan dengan perubahan yang nyata: merampas tanah, membina tembok, mengawal sempadan, dan menindas kebebasan rakyat Palestin.
15. Oleh itu, jika benar dunia mahu melihat keadilan untuk Palestin, pengiktirafan itu mesti diikuti dengan tindakan nyata.
Tekanan diplomatik, sekatan ekonomi terhadap pendudukan, perlindungan undang-undang antarabangsa, dan sokongan penuh kepada rakyat Palestin untuk membina institusi mereka sendiri.
Tanpa ini, pengiktirafan hanya akan menjadi retorik kosong — dan lebih buruk, satu perangkap yang mempercepatkan penguasaan Israel terhadap seluruh tanah Palestin.
16. Persoalan paling besar, kalaulah Gaza diserahkan pada Palestinian Authority yang ditunjangi FATAH dan PLO, sejauh mana entiti ini boleh bertahan sebelum akhirnya didesak untuk menerima one state solution yang diimpikan Netanyahu?