Aktivis Alu-Alukan Kenyataan Hakim Sepanyol Tentang Tragedi Mavi Marmara

ISTANBUL, 15 Nov 2015 (MEMO) — Persatuan Pembebasan dan Solidariti Mavi Marmara mengalu-alukan kenyataan seorang hakim Sepanyol berkaitan insiden serangan maut ke atas Freedom Flotilla pada tahun 2010, yang memberi isyarat bahawa kes tersebut akan dibuka semula sekiranya pemimpin Zionis termasuk Benyamin Netanyahu memasuki wilayah Sepanyol.

Menurut ketua persatuan tersebut, Ismail Yilmaz, pelobi Yahudi di Sepanyol selama ini telah cuba untuk menghalang kes serangan tersebut dibuka semula.

Jumaat lalu, hakim mahkamah kebangsaan Jose de la Mata mengeluarkan waran tangkap dan mengarahkan pihak polis dan pertahanan awam supaya memaklumkan beliau sekiranya Perdana Menteri Zionis Benjamin Netanyahu, bekas Perdana Menteri Ehud Barak, Bekas Menteri Luar Avigdor Lieberman, Menteri Pertahanan Moshe Yaalon, Bekas Menteri Dalan Negeri Eli Yishai, Ahli Parlimen Benny Begin dan Komander Tentera Laut Eliezer Marom memasuki wilayah Sepanyol, supaya kes penglibatan mereka dalam serangan ke atas Freedom Flotilla boleh dibuka semula.

Jun lalu, mahkamah kebangsaan yang sama telah menasihati kerajaan Sepanyol supaya memfailkan kes serangan pada tahun 2010 itu ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Siasatan terhadap kes tersebut bagaimanapun ditutup apabila berlaku perubahan dalam perundangan Sepanyol yang menghadkan kuasa mahkamah dalam kes antarabangsa.

Enam buah kapal yang menyertai Freedom Flotilla membawa aktivis dan barang bantuan ke Gaza telah diserang oleh tentera laut Zionis di laut antarabangsa di Mediterranean, menyebabkan sembilan orang terkorban dan lebih 50 lagi tercedera.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts