Amal Taqatqa Dibunuh Atas Prasangka Buruk

AL-KHALIL, 2 Dis 2014 (Palinfo) — Amal Taqtaqa, 22 tahun, ditembak mati dengan sengaja pada hari Isnin lalu ketika dalam perjalanan dari Beit Fujar ke pusat bandar al-Khalil bagi membuat persiapan majlis perkahwinan beliau yang akan diadakan beberapa minggu lagi.

Tentera Zionis serta pendatang Yahudi secara tiba-tiba mengejar dan menembak ke arah Amal setelah mendapat maklumat palsu bahawa beliau merancang untuk melakukan serangan menikam mangsa.

Pendatang Yahudi dan tentera Zionis dilaporkan menerima arahan untuk melepaskan tembakan di jalan masuk Beit Fujar sekiranya berlaku kejadian yang mencurigakan. Malangnya, Amal berjalan berseorangan ketika kejadian berlaku.

Saksi mengesahkan bahawa sekumpulan pendatangan Yahudi dan tentera Zionis mengejar seorang wanita muda Palestin di jalan utama ke arah bandar sebelum melepaskan tembakan ke arah beliau. Amal ditembak oleh pendatang dan askar dengan 20 butir peluru, dan dikejarkan ke hospital Haddasah dengan sebuah ambulan Zionis apabila pasukan Bulan Sabit Merah Palestin dihalang daripada membantu beliau.

Sejurus selepas kejadian pembunuhan secara sengaja itu, pihak media Zionis dan Arab membuat kenyataan palsu tentang mangsa, dengan mendakwa bahawa beliau adalah seorang bekas tahanan yang pernah melakukan serangan [menikam] yang sama di tempat tersebut. Keluarga Amal menafikan dakwaan pihak media itu dan mengesahkan bahawa beliau tidak pernah ditangkap.

Ketika kejadian, Amal dalam perjalanan ke pusat membeli belah di bandar bagi persediaan majlis perkahwinan beliau sebulan lagi, jelas keluarganya.

Beberapa jam selepas kejadian, sekumpulan besar tentera Zionis memecah masuk ke dalam rumah keluarga Amal dan menangkap bapanya.

Media Zionis kemudiannya menerbitkan foto tempat kejadian yang menunjukkan sebilah pisau yang didakwa digunakan sebagai senjata, dan menjalankan temubual dengan seorang pendatang Yahudi yang dikatakan tercedera dalam ‘serangan’ tersebut.

Bagaimanapun, para saksi mengesahkan bahawa pendatang tersebut membuat kenyataan bohong.

Kejadian malang ke atas Amal berlaku di simpang jalan utama berdekatan kawasan penempatan Yahudi Gush Etzion di antara al-Klalil dan Bethlehem. Kawasan tersebut merupakan ‘kawasan panas’ di mana penduduk Palestin sering ditangkap atas tuduhan membuat serangan membaling batu.

Sepanjang dua tahun lalu, ramai kanak-kanak Palestin ditangkap di Beit Fujar. Beberapa kempen ketenteraan juga dilakukan di situ.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts