“Kamu akan menjadi seorang bapa saudara tidak lama lagi,” kakak saya Zeinab memberitahu saya dengan penuh kegembiraan. Dia tidak pernah terbayang akan nasib yang bakal dilalui oleh beliau dan juga kami yang menyayanginya.
Pada bulan April 2007, ketika saya bersiap sedia untuk menduduki peperiksaan akhir Tawjihi di sekolah tinggi – salah satu peperiksaan yang paling penting di Palestin – saya mendapat tahu bahawa kakak saya yang sedang hamil itu telah jatuh sakit. Beliau telah dibawa ke hospital dan menerima rawatan perubatan selama dua hari.
Doktor memutuskan bahawa dia harus menjalani pengguguran. Jika tidak, nyawanya akan terancam. Dengan penuh kesedihan dan linangan airmata, dia terpaksa bersetuju. Harapan dan imaginasi saya tentang kehidupan sebagai seorang bapa saudara selepas ini juga terhenti.
Operasi yang mudah
Sebulan kemudian, dia telah dimasukkan semula ke hospital. Beliau mengalami masalah pundi hempedu dan terpaksa menjalani pembedahan. Operasi pembedahan itu digambarkan sebagai “mudah” oleh doktor, namun beberapa peralatan yang diperlukan tidak ada di hospital-hospital sekitar Gaza. Kakak saya membuat permohonan permit untuk pergi mendapatkan rawatan di Jerusalem, tetapi permohonannya gagal atas alasan beliau merupakan ancaman keselamatan kepada Israel. Kakak saya yang berusia 26 tahun itu adalah satu ancaman keselamatan kepada Israel?
Ia mengambil masa hampir seminggu untuk mengetahui bahawa dia telah dinafikan permit memasuki Jerusalem. Kuman telah mula tersebar di dalam badannya melalui urat saraf. Kulit tubuhnya bertukar menjadi kuning. Saya terkejut melihat tubuhnya menjadi kuning apabila saya pergi melawat beliau di Hospital Syuhada al-Aqsa di Deir al-Balah.
Satu ancaman keselamatan?
Lintasan Rafah yang memisahkan Gaza dari Mesir telah ditutup kononnya atas alasan pergolakan di antara penyokong setia Fatah dan Hamas di Gaza. Kesatuan Eropah yang telah memantau lintasan itu juga telah menggantung misinya.
Akhirnya lintasan itu dibuka buat kali terakhir sebelum Hamas mengambilalih pentadbiran Gaza. Kakak saya bersama-sama dengan ayah dan ibu saudara saya berjaya menyeberang ke Mesir dengan ambulans.
Terlambat
Saya sempat berbual dengan beliau sehari sebelum menduduki peperiksaan teknologi maklumat. Suaranya kedengaran seperti seseorang bercakap dari arah lubang yang dalam.
Segalanya sudah terlambat. Kakak sulung saya itu telah meninggal dunia beberapa hari kemudian di Kaherah.
“Mari kita pergi ke rumah kamu,” Mohammad, salah seorang sepupu saya, mengajak ketika saya sedang menunggu di hadapan pintu pagar utama Sekolah Khaled Bin al-Waleed selepas menduduki peperiksaan Bahasa Inggeris. “Tunggu sekejap. Kita tidak tergesa-gesa. Kenapa kita perlu pergi ke rumah kami?” saya bertanya. “Tidak ada apa-apa, tetapi saya fikir lebih baik kita ke sana,” katanya.
Ketika kami sedang berjalan bersama-sama dengan Bilal, seorang lagi sepupu saya, mereka mula bercakap tentang pentingnya kesabaran dan ganjaran yang menanti orang yang sakit. Saya telah ditanya soalan mengenai kakak saya; sukar untuk mereka bercakap tentang kematian beliau.
Saya begitu tabah menghadapi kematian abang saya yang dibunuh pada 7 Mac 2004 ketika beliau berumur 18 tahun. Saya tahu bahawa saya telah kehilangan sesuatu. Walaupun begitu perit, saya cuba juga untuk menyembunyikan titisan air mata. Pipi saya telah dibasahi dengan air mata akibat kehilangan beliau.
Keluarga saya menunggu selama tiga hari bagi ayah saya, makcik dan jenazah kakak saya mendapat permit pulang ke Gaza melalui lintasan masuk Karim Abu Salem (Zionis menukar namanya kepada Kerem Shalom) yang dikawal oleh askar Zionis Yahudi.
Pada masa itu, ayah saya terpaksa membawa balik jenazah kakak saya ke Hospital al-Arish, 50 kilometer ke selatan lintasan Rafah, sebanyak dua kali kerana kesukaran untuk mendapatkan permit membawanya pulang ke Gaza.
Beberapa orang askar Yahudi menunggu jenazah di lintasan. Inilah askar-askar yang berkhidmat untuk sebuah rejim negara haram yang menyekat kakak saya daripada mendapatkan pembedahan di Jerusalem.
Zeinab mempunyai pengalaman yang dahsyat di Jerusalem sebelum ini. Apabila dia jatuh sakit pada usia 12 tahun, ayah saya membawa beliau ke sebuah hospital di Baitulmuqaddis, di mana seorang doktor Yahudi telah mengeluarkan limpa beliau. Doktor tersebut kemudian mengakui bahawa operasi itu sebenarnya tidak perlu. Kami yakin bahawa prosedur ini telah membawa kepada banyak masalah kesihatan Zainab yang berikutnya.
“Mengapa kamu menangis, kita semua akan mati?” seorang askar Yahudi menyapa ayah saya dengan biadab, sambil cuba menunjukkan watak seperti prihatin yang baik. Ayah tidak menjawab.
Mereka akhirnya meninggalkan lintasan dan berjaya pulang ke Gaza. Kakak saya yang berumur 26 tahun itu telah dikebumikan bersebelahan dengan kuburan mereka yang tersayang di tanah perkuburan al-Nuseirat.
Suara askar Yahudi yang biadab dan bodoh bergema, “Mengapa kamu menangis, kita semua akan mati?”
Kita semua akan mati, benar.
—————-
Tulisan asal oleh Yousef M. Aljamal, seorang penterjemah dan blogger di Gaza. Tulisan-tulisan beliau boleh dicapai di blogĀ He who is brave is free.