AL-QUDS, 28 Sep 2016 (Maan) — Dua keluarga Palestin dari kejiranan Beit Hanna di al-Quds Timur dipaksa meroboh rumah mereka sendiri bagi mengelak dikenakan denda berat oleh pihak perbandaran Zionis.
Seramai 15 ahli keluarga mereka kini kehilangan tempat tinggal.
Menurut salah seorang pemilik, Imad Jaber, beliau dipaksa menyewa sebuah buldozer untuk merobohkan rumahnya yang didiami sejak 10 tahun lalu itu.
Beliau akan dikenakan denda sebanyak 70,000 shekel (RM76,453) sekiranya rumah tersebut dirobohkan oleh pihak Zionis. Sejak beberapa tahun lalu beliau telah membayar denda sejumlah 67,000 shekel (RM73,180) kerana membina rumah tanpa permit.
Seorang lagi mangsa, Rami Allon, mengalami kecederaan patah kaki ketika merobohkan rumahnya apabila ditimpa sebatang tiang.
Beliau tinggal di rumah dua tingkat itu bersama isteri dan tujuh anaknya sejak tahun 2013, di mana beliau pernah membayar denda sebanyak 117,000 shekel (RM120,786) dengan harapan pihak Zionis tidak merobohkan rumah mereka.