RAMALLAH, 11 Okt 2015 (IMEMC) — 21 orang penduduk Palestin dibunuh manakala lebih 1,100 lagi mengalami kecederaan dalam serangan tentera Zionis sejak awal Oktober.
Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan bahawa tentera Zionis menembak mati tujuh penduduk Palestin termasuk dua orang kanak-kanak semalam, menjadikan jumlah mereka yang ditembak seramai 14 orang dan lebih 240 tercedera yang lain dalam tempoh dua hari terakhir ini.
Tujuh daripada yang terbunuh di Tebing Barat adalah Ishaq Badran, 16 tahun, yang ditembak di kejiranan al-Misrara di Al-Quds, Mohammad Ali Said Ali, 19 tahun, di Bab al-‘Amoud di Al-Quds, Ahmad Jamal Salah, 19 tahun, di kem pelarian Shu’fat, dan Ibrahim Ahmad Awad, 28 tahun, di Beit Ummar.
Manakala di Gaza, Jihad al-‘Obeid, 21 tahun, yang berasal dari Deir al-Balah, maut setelah mengalami kecederaan pada hari Jumaat, manakala Marwan Hashem Barbach, 13 tahun, dan Khalil Omar Othman, 15 tahun, dibunuh di Khan Younis.
Kenyataan Kementerian menyebut bahawa tentera Zionis menembak 21 orang penduduk Palestin sejak 1 Oktober, iaitu dalam tempoh 10 hari. Dalam tempoh yang sama, 1,100 orang tercedera akibat serangan peluru hidup dan peluru getah manakala ratusan yang lain tercedera sesak nafas diserang dengan gas pemedih mata.
Tentera Zionis juga menceroboh masuk Hospital Islam Al-Makassed dan Hospital Augusta Victoria di AL-Quds. Menurut pengarah Hospital Islam Al-Makassed, tentera sering menceroboh masuk bangunan hospital, termasuk di bilik X-Ray, rawatan kecemasan dan bilik pesakit untuk mencari penduduk Palestin yang tercedera.
Berikut adalah foto sebahagian daripada mereka yang tercedera di Gaza.