[Foto] Keadaan Di Al-Quds Semakin Tegang Sepanjang September

AL-QUDS, 1 Okt 2015 (PIC) — Sepanjang bulan September baru lalu keadaan di Al-Quds tidak banyak berbeza daripada bulan-bulan sebelumnya, kecuali meningkatnya pencerobohan, pertempuran dan usaha yahudisasi secara signifikan. Usaha yahudisasi untuk membahagi Masjid Al-Aqsa mengikut waktu dan kawasan tertentu semakin gencar.

Laporan pertubuhan Islam-Kristian Untuk Solidariti Al-Quds Dan Tempat-Tempat Suci hari ini menunjukkan dengan jelas peningkatan mendadak dalam pelanggaran dan penodaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa rejim Zionis dan juga pelampau Yahudi sepanjang bulan September.

Masjid Al-Aqsa diceroboh dengan kadar peningkatan yang luar biasa berbanding sepanjang tempoh awal tahun ini, sehubungan dengan musim perayaan Yahudi dan ketibaan hari Aidiladha. Untuk pertama kalinya sejak tahun 1967 pelampau Yahudi menceroboh masuk pada hari Arafah dan hari Tasyriq.

Polis Zionis mengenakan peraturan yang sangat ketat terhadap para jemaah dan menghadkan syarat usia bagi lelaki Palestin untuk memasuki perkarangan masjid ketiga paling suci bagi umat Islam itu. Pada ketika lain, mereka melarang sama sekali orang Islam memasukinya. Polis Zionis dan pasukan khas bersenjata dilengkapi dengan senjata berat, siap menaiki bumbung bangunan untuk menembak gas pemedih mata dan bom pelali (stun grenade). Mereka tanpa sedikitpun rasa hormat melakukan kerosakan di Musolla Al-Qibli di selatan perkarangan Al-Aqsa sehingga menghancurkan kaca, memecahkan pintu masuk dan tingkap serta membakar sejadah, dalam usaha untuk memaksa para jemaah keluar dari dalam masjid dan menangkap sebahagian daripada mereka. Terakhir, mereka mengunci semua pintu ke Musolla Al-Qibli dengan rantai besi.

Keganasan rejim Zionis kini sampai ke tahap untuk membahagikan Masjid Al-Aqsa secara terang-terangan, mengikut masa dan tempat tertentu.

Pemerintah Zionis terus melakukan pencerobohan, menodai kesucian Masjid Al-Aqsa dan mengubah konflik politik menjadi satu konflik agama dengan memanfaatkan musim perayaan agama.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin mencatat puluhan warga Palestin tercedera dalam berhadapan dengan kekerasan polis di dalam Masjid Al-Aqsa. Kebanyakan mangsa mengalami masalah sesak nafas akibat serangan gas pemedih mata, bom pelali dan juga gas cili. Tidak kurang yang tercedera ditembak dengan peluru getah.

Seramai 1575 pelampau Yahudi menceroboh masuk ke dalam Masjid Al-Aqsa termasuklah Menteri Pertanian, Urey Ariel serta kelompok Parti Likud yang memerintah. Seramai 34 pegawai perisik, 30 pelatih tentera juga terlibat, selain daripada pelawat Yahudi dari luar negara.

Sepanjang September, rejim Zionis mengeluarkan 50 arahan deportasi terhadap warga Al-Quds dari Masjid Al-Aqsa, Kota Lama, atau seluruh wilayah Al-Quds.

Dalam usaha mereka untuk mengosongkan Masjid Al-Aqsa daripada para jemaah, Menteri Keselamatan Zionis, Gilad Jordan memutuskan untuk mendakwa para jemaah yang berada atau berjaga di dalam masjid sebagai kumpulan haram. Tindakan itu disasarkan terutamanya kepada para wanita, dengan menyenaraikan hitamkan mereka sebagai orang yang dilarang mendekati kawasan masjid.

Menjelang akhir bulan September, rejim Zionis menerapkan hukuman penahanan administratif tanpa pembicaraan selama enam bulan ke atas para jemaah yang didakwa berjaga atau beriktikaf di dalam Masjid Al-Aqsa.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts