[Foto] Penduduk A-Quds Terpaksa Solat Jumaat Di Jalanan

AL-QUDS, 2 Okt 2015 (Maan) — Sebahagian daripada penduduk Palestin di Al-Quds terpaksa menunaikan solat Jumaat di jalanan apabila pihak keselamatan Zionis menghalang setiap lelaki di bawah umur 50 tahun memasuki perkarangan masjid.

Rejim Zionis mengerah pasukan khas tentera, polis, pengawal sempadan dan perisik ke jalan-jalan di Al-Quds Timur dan seluruh kota Al-Quds.

Penduduk menunaikan solat berhampiran pintu-pintu masuk di Kota Lama Al-Quds berdekatan perkarangan masjid dan juga kejiranan Wadi al-Joz yang terletak bersebelahan dengan kawasan masjid.

Di Pintu Al-Asbatt, para jemaah disekat dan ditekan dengan tembakan bom pelali, peluru getah dan juga semburan lada.

Di Pintu As-Silsilah pula, tentera Zionis menahan seorang penduduk Palestin atas tuduhan membaling bom molotov. Beliau dibawa ke sebuah pusat tahanan untuk di soal siasat.

Rejim Zionis menyekat kemasukan penduduk Palestin ke dalam masjid ketiga paling suci bagi umat Islam itu beberapa hari dalam minggu ini bagi memberi laluan pelampau Yahudi masuk menyambut perayaan Sukkut.

Pemimpin Jabatan Wakaf yang bertanggung jawab ke atas Masjid Al-Aqsa, Sheikh Azzam al-Khatib, Rabu lalu menyebut, “Al-Aqsa kini bertukar menjadi sebuah pusat tahanan dan bukan lagi sebuah masjid. Ia kini menjadi sebuah berek tentera, ia telah dikelilingi oleh tentera penjajah selama empat hari.”

Ketika ribuan pelampau Yahudi memasuki kota Al-Quds bagi menyambut perayaan mereka, kejiranan Palestin di sekitarnya dikepung pada setiap malam dan jalan-jalan ditutup oleh pasukan tentera.

Awal minggu ini, tentera menyerang perkampungan Shufat dan menaggalkan semua bendera Palestin yang dikibarkan di rumah-rumah dan bangunan kedai serta mengugut untuk mengenakan denda kepada mereka yang mengibarkan bendera tersebut di kawasan Al-Quds.

Sekatan ke atas Masjid Al-Aqsa dan tindakan keras terhadap penduduk Palestin di Al-Quds mencetus gelombang demonstrasi di seluruh Tebing Barat yang kini dikurung oleh tentera berikutan insiden seorang askar Zionis dan isterinya ditembak mati di Nablus Khamis lalu.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts