AL-KHALIL, 9 Ogos 2013 (WorldBulletin) — Sekurang-kurangnya 1,500 orang Palestin tinggal di dalam gua di Masafer Yatta, Al-Khalil. Mereka menetap di kawasan tersebut sejak berabad lamanya, bahkan sebahagian besarnya sebelum rejim Zionis mula menjajah pada tahun 1967. Namun, dalam tahun 1980-an pihak berkuasa Zionis meletakkan kawasan ini, termasuk 14 komunitinya, sebagai kawasan larangan latihan tentera yang digelar “Firing Zone 918”.
“Kami tinggal sepertimana nenek moyang kami. Cara hidup yang sederhana; mengharungi musim yang berbeza, memelihara ternakan, menuai tanaman. Kami kumpul air dari dua telaga, dan ada sebuah jenerator untuk membekal elektrik,” kata Mahmoud Hussein Hamamdi yang tinggal di Um Faqarah, sebuah perkampungan yang penduduknya tinggal di dalam gua di mana tentera Zionis melarang sebarang pembinaan struktur bangunan.
Tentera Zionis tidak membiarkan mereka tinggal di sini bebas begitu sahaja. Pada tahun 2003, perigi air mereka dirosakkan apabila bangkai haiwan dibuang ke dalamnya. Mereka juga terpaksa melalui sekatan menghalang jalan ke empat buah perkampungan Palestin. Hidup mereka sentiasa berada di bawah ancaman, rumah keluarga yang mereka dibina di atas gua bagi memenuhi keperluan ahli keluarga yang semakin membesar juga dimusnahkan oleh tentera Zionis.
“Mereka musnahkan, kami buna semula,” jerit Rasmiya Mohammad selepas rumahnya diceroboh masuk oleh tentera Zionis.
Teriakan Rasmiya bergema bersama setiap keluarga lain yang tinggal di situ, apabila tentera Zionis mendakwa tanah itu
milik rejim.






