[Foto] Ratusan Penduduk Gaza Pindah Akibat Banjir

GAZA, 22 Feb 2015 (Ma’an) — Ratusan penduduk Gaza terpaksa dipindahkan awal pagi ini apabila rejim Zionis membuka beberapa empangan berdekatan sempadan, menyebabkan berlakunya bencana banjir.

Kenyataan Menteri Dalam Negeri di Gaza menyebut bahawa perkhidmatan pertahanan awam dan pasukan Kementerian Kerjaraya telah memindahkan lebih 80 keluarga di Wadi Gaza apabila kediaman mereka dinaiki air setinggi lebih tiga meter.

Beberapa hari sebelum ini, Gaza sudah mengalami benjana banjir berikutan cuaca ribut dan hujan lebat, di samping suhu sejuk. Ribut tersebut menyebabkan puluhan penduduk terpaksa berpindah manakala ribuan lagi mengalami keperitan hidup kerana tidak mempunyai tempat tinggal yang sesuai. Dalam serangan tentera Zionis pada musim panas lalu, sekitar 110,000 penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal.

Keperitan hidup penduduk Gaza dikeruhkan lagi oleh sekatan penuh yang dikenakan oleh rejim Zionis dan sekutunya sejak lapan tahun lalu, menghalang hak penduduk untuk mendapatkan keperluan asas menghadapi musim sejuk, seperti bekalan elektrik dan minyak. Sekatan haram itu turut menghalang penduduk daripada membina semula rumah mereka kerana bahan binaan dilarang masuk ke Gaza.

Jurucakap perkhidmatan pertahanan awam Gaza, Muhammad al-Midana, memberi amaran bahawa penduduk akan berhadapan dengan keadaan yang lebih teruk sekiranya rejim Zionis membuka lebih banyak empangan di kawasan tersebut, sambil menjelaskan bahawa air dari empangan-empangan Zionis kini memasuki wilayah Gaza dengan arus yang laju.

Mangsa ditempatkan di kediaman sementara yang ditaja oleh UNRWA di kem pelarian al-Bureij dan juga di kejiranan al-Zahra di tengah Gaza.

Wadi Gaza merupakan kawasan tanah lembap yang terletak di tengah Gaza, di antara kem pelarian al-Nuseirat dan al-Morhaga. Kawasan ini diairi oleh dua batang sungai, masing-masing mengalir dari Beersheba dan al-Kalil. Empangan Zionis yang mengambil bekalan air dari sungat-sungai tersebut menyebabkan kawasan Wadi Gaza, satu-satunya sumber air permukaan di Gaza, menjadi kering.

Pada tahun 2010 dan 2013, rejim Zionis juga melepaskan air empangan sehinga menyebabkan bencana bajir dan kerosakan rumah serta kawasan penempatan penduduk Gaza.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts