ISTANBUL, 10 Julai 2020 — Mahkamah Turki hari ini memansuhkan ketetapan kabinet 1934 yang menukar Hagia Sofia menjadi sebuah muzium.
Keputusan tersebut sekaligus mengembalikan fungsi binaan hebat itu sebagai sebuah masjid yang digelar Ayasofya Cami selepas 85 tahun. Ibadat solat akan mula didirikan di tapak Warisan UNESCO itu pada 24 Julai.
Mahkamah memutuskan bahawa Hagia Sofia dimiliki oleh Yayasan Fatih Sultan Mehmet Khan dan dipersembahkan kepada masyarakat sebagai masjid – di mana status tersebut tidak boleh dipertikaikan.
Mahkamah juga menetapkan bahawa Hagia Sophia tidak boleh digunakan secara sah kecuali untuk sifat masjid dalam akta yayasan, dan tidak boleh digunakan untuk tujuan lain.
Hagia Sophia pernah digunakan sebagai sebuah gereja ketika pemerintahan Empayar Byzantine. Ia ditukar menjadi masjid susulan penaklukan kota Konstantinopel (Istanbul) pada tahun 1453. Kemudian pada tahun 1935, kabinet Turki pimpinan Mustafa Kemal Ataturk menukarnya menjadi sebuah muzium.
Ia berfungsi sebagai sebuah masjid selama kira-kira 500 tahun, menjadi model kepada masjid lain di kota itu seperti Masjid Sultan Ahmed (Masjid Biru), Masjid Suleymaniye dan Masjid Rustem Pasha.
Kenyataan kerajaan Turki menegaskan bahawa kembalinya Hagia Sophia sebagai masjid tidak bermakna ia ditutup kepada pelancong dari seluruh dunia.
(AA)