HALUAN Serah RM688,000 Sumbangan Masyarakat Malaysia Untuk Rakyat Palestin

KUALA LUMPUR, 19 Jun 2011 — Sumbangan ikhlas yang berterusan daripada masyarakat Malaysia amat bermakna bagi rakyat Palestin yang berhadapan dengan sekatan dan juga serangan jahat rejim pengganas Israel. Melalui dana sumbangan tersebut, HALUAN telah bekerjasama dengan beberapa pertubuhan kebajikan dan NGO di Palestin bagi menyampaikan bantuan secara terus kepada rakyat Palestin dan juga membangunkan infrastruktur asas yang musnah akibat serangan Israel.

Terkini, sebanyak RM688,539.82 sumbangan rakyat Malaysia telah diserahkan kepada dua rakan NGO kerjasama HALUAN iaitu Rabitah Ulamak Palestin dan juga El-Saraa Organization for Human Relief bagi tujuan melaksanakan projek bantuan kemanusiaan di kem-kem pelarian Palestin di Syria serta pembangunan awam di Gaza.

Dalam lawatan singkat Pengarah El-Saraa Organization for Human Relief, Sheikh Ahmad Ziad Al-Qisyawi ke Kuala Lumpur pada 16hb Mei lalu, HALUAN telah menyerahkan wang sumbangan rakyat Malaysia sebanyak RM633,519.82. Wang tersebut akan digunakan untuk projek kesihatan pelarian serta membaiki kemudahan pendidikan anak-anak Palestin di kem-kem pelarian.

Majlis penyerahan sumbangan masyarakat Malaysia kepada Sheikh Ziad Al-Qisyawi (dua dari kanan) di Kuala Lumpur pada 16hb Mei
Majlis penyerahan sumbangan masyarakat Malaysia kepada Sheikh Ziad Al-Qisyawi (dua dari kanan) di Kuala Lumpur pada 16hb Mei
Resit penerimaan sumbangan melalui El-Saraa Organization for Human Relief
Resit penerimaan sumbangan melalui El-Saraa Organization for Human Relief

Dalam kenyataan Pengerusi Biro HALUAN Palestin, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hassan, beliau menyebut, “wang yang diserahkan itu merupakan hasil kutipan berterusan bagi perancangan kami untuk menyampaikan bantuan melalui konvoi pelayaran Freedom Flotilla. Tetapi memandangkan HALUAN tidak akan menyertai konvoi tersebut, kami merasakan inilah saluran terbaik untuk menjamin bahawa semua wang amanah rakyat Malaysia ini sampai dan mendapat manfaat secara terus oleh rakyat Palestin sendiri, khususnya di Gaza.”

Sepanjang minggu lepas pula, Penasihat Kanan Rabitah Ulamak Palestin, Syeikh Abu Bakr Al-Awawidah, telah berada di Malaysia dalam usaha menyampaikan ceramah kesedaran dan berita perkembangan terkini Palestin kepada rakyat Malaysia. Beliau telah menyampaikan ceramah di hampir semua bandar-bandar utama, termasuklah di Johor Bahru, Kuantan dan Kota Bharu. Sejumlah RM55,020 telah disumbangkan oleh rakyat Malaysia untuk disampaikan kepada rakyat Palestin melalui Rabitah Ulamak Palestin.

Sebahagian besar daripada wang tersebut akan digunakan untuk perbelanjaan merawat lebih 300 rakyat Palestin yang tercedera akibat serangan tentera Israel di Bukit Golan dalam peristiwa memperingati Hari Nakba baru-baru ini.

Timbalan Presiden HALUAN, Ustaz Mohd Darus Senawi (kanan) menyerahkan sumbangan untuk rakyat Palestin melalui Syeikh Abu Bakr. Turut hadir adalah Pengerusi HALUAN Palestin, Dr Syed Muhammad Haleem.
Timbalan Presiden HALUAN, Ustaz Mohd Darus Senawi (kanan) menyerahkan sumbangan untuk rakyat Palestin melalui Syeikh Abu Bakr. Turut hadir adalah Pengerusi HALUAN Palestin, Dr Syed Muhammad Haleem.

Menurut Dr Syed Muhammad Haleem, wakil-wakil HALUAN akan berkunjung ke Palestin dan Syria dalam masa terdekat bagi meninjau perlaksaan projek-projek bantuan di sana, di samping berbincang dengan badan-badan dan NGO tempatan tentang projek bantuan strategik berprioriti tinggi yang diperlukan oleh rakyat Palestin.

Antara projek bantuan yang telah dilaksanakan secara kerjasama dengan pertubuhan lain, termasuklah Sahabat Al-Aqsa dan MER-C Indonesia, adalah pembinaan klinik gigi kebajikan di kem pelarian Palestin di Syria. Klinik gigi yang pertama untuk pelarian Palestin di Damaskus ini akan memberi khidmat kepada lebih dari 300 ribu pelarian Palestin di kem Yarmuk, Filistin, Sbena, Khan Danun dan beberapa kem lain di sekitar Damaskus.

Manakala di Gaza, dua buah perigi air bawah tanah yang menjadi sumber bekalan air bersih di Gaza City dan Khan Younis telah disiapkan dan mendapat manfaat masyarakat setempat. HALUAN juga turut membantu pembinaan semula Masjid Sheikh Ahmed Yassin yang telah ranap akibat serangan tentera Zionis. Selain dari itu, projek perusahaan berskala kecil bagi menternak lembu susu dan industri menjahit pakaian juga telah dapat menyediakan peluang pekerjaan di samping menampung keperluan makanan harian.

Semoga Allah memberi ganjaran setimpal dan berterusan kepada setiap dermawan yang membantu. Sebagaimana yang diungkapkan oleh Sheikh Ahmad Ziad Al-Qisyawi, “atas nama setengah juta pelarian Palestin di Syria dan atas nama para Ulamak Palestin, kami sampaikan ribuan terima kasih. Semoga amal soleh masyarakat Malaysia mendapat balasan terbaik daripada Allah di dunia dan di akhirat.”

 

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts