Mereka yang menganalisa peperangan di Timur Tengah menggunakan lensa mazhab sunni-syiah sering mengatakan bahawa Hizbullah dan Iran tidak bersungguh-sungguh untuk mempertahankan Palestin. Ada yang menganggapnya sebagai wayang sahaja.
Contohnya serangan langsung Iran pada 14 April 2024 yang dilancarkan selepas Israel membunuh dua orang jeneralnya di konsulat di Damsyik, Syria pada 01 April 2024 dianggap sebagai wayang.[1] Namun hujah ini mudah dipatahkan apabila kita melihat serangan kualitatif yang dilakukan dan juga korban sebenar yang dihadapi oleh golongan resistance seperti Hizbullah dan Iran.
Analisis yang lebih tepat adalah analisis anti-kolonialisme dan anti-imperialisme. Hizbullah dan Iran merupakan sebahagian dari pasukan resistance yang berjuang melawan kolonialisme Israel dan juga imperialisme Amerika Syarikat.
Pada 01 Oktober 2024, kita dapat lihat dengan lebih jelas apabila Iran membedil Tel Aviv dengan peluru berpandu hipersonik mereka. Israel mengakui bahawa sebanyak 181 peluru berpandu telah menerobos ke Tel Aviv.[2]
Serangan tersebut dilakukan dengan lebih mengejut berbanding serangan pada 14 April dimana Iran memberi amaran awal supaya Israel dan Amerika dapat bersedia. Namun kali ini, Iran tidak memberi apa-apa notis kepada Amerika Syarikat, walaupun Amerika Syarikat mendapat maklumat risikan di saat-saat akhir.[3]
Namun seperti biasa, media Israel mengatakan bahawa peluru berpandu hipersonik ini kebanyakannya dapat ditangkis dengan bantuan dari Amerika Syarikat dan Jordan. Israel juga mengatakan bahawa serangan ini gagal memberi apa-apa kerosakan serius dan sistem pertahanan udara mereka ternyata berkesan.[4]
Apa yang berlaku sebenarnya Israel mengamalkan “military censorship” dimana sasaran ketenteraan yang dibedil ini diharamkan kepada media untuk melaporkannya. Dengan menggunakan strategi ini, masyarakat umum akan melihat bahawa serangan ini berjaya dipatahkan, dan Iran hanya bermain wayang.
Walhal, sebenarnya kerosakan sebenar dihalang oleh Israel untuk dipamerkan pada umum. Disebabkan itu, jika kita membaca sumber Israel, kebanyakan serangan resistance akan dikatakan sebagai hanya jatuh pada kawasan lapang atau “open area” tanpa kecederaan. Disebabkan itulah, pasukan resistance seperti Hamas dan Hizbullah mempunyai pasukan media mereka sendiri, untuk memperlihatkan pada dunia bahawa serangan mereka berkesan dan tidak hanya jatuh pada “open area”.
Namun, jika kita hanya membaca berita dari media utama terutamanya media propaganda Barat seperti BBC dan CNN, bahan-bahan media ini tidak akan dipertontonkan.
Serangan oleh Iran menggunakan peluru berpandu hipersonik ini adalah tindak balas Iran ke atas pembunuhan yang dilakukan oleh Israel kepada pemimpin resistance seperti Ismail Haniyeh, Hassan Nasrallah, dan Abbas Nilforushan (Jeneral Iran).
Walaupun Israel tidak mahu mengakui keberkesanan serangan ini, melalui kenyataan dari jurucakap Tentera Penjajah Israel (TPI), Daniel Hagari, beliau memberitahu media bahawa kesan dari serangan itu tidak akan diwar-warkan kepada umum kerana TPI tidak mahu memberi informasi kepada musuh.[5] Secara tidak langsung, kita boleh fahami bahawa serangan ini sememangnya berkesan, namun Israel tidak mahu melaporkannya bagi menyelamatkan air muka.
Serangan Iran menggunakan peluru berpandu ini dipuji oleh HAMAS. Manakala pasukan resistance di Iraq memberi amaran jika Amerika Syarikat menyerang Iran, semua pengkalan tentera Amerika Syarikat di Iraq akan menjadi sasaran.
Jika sumber propaganda Israel menyatakan hanya 181 peluru berpandu dilancarkan. Media dari sumber resistance melaporkan 400 peluru berpandu dilancarkan. Operasi membedil Tel Aviv menggunakan peluru berpandu hypersonic ini digelar sebagai “Operation True Promise 2”.
Menurut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), serangan peluru berpandu hipersonik ini telah membedil tiga markas TPI iaitu Nevatim, Hatzerim, dan Pengkalan Udara Tel Nof yang digunakan oleh TPI sebagai markas bagi pesawat-pesawat pengebom mereka seperti F-35 dan F-15. Menurut IRGC lagi, 90 peratus peluru berpandu ini berjaya membedil semua target-target ini. Selain itu, sebuah fasiliti gas juga terkena bedilan di Askalan.[6]
Bedilan peluru berpandu hipersonik Iran menunjukkan kemampuan menembusi sistem pertahanan udara Israel yang canggih. Semua pengkalan udara ini dilengkapi sistem radar dan sistem anti-peluru berpandu, namun ia tidak mampu melindungi pengkalan ini dari serangan peluru berpandu hipersonik. Malah sistem Iron Dome yang dilambung-lambung tinggi juga ternyata hanya digelakkan sahaja apabila Iran menghantar peluru berpandu hipersonik mereka.
Menurut mantan pegawai pemeriksa senjata Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Scott Ritter, peluru berpandu hipersonik ini terlalu laju hingga gagal dikesan oleh sistem udara Israel. Disebabkan itu tiada siren amaran dibunyikan.[7] Ini juga terlalu laju untuk dipintas oleh mana-mana sistem anti-peluru berpandu.
Sumber-sumber resistance ini lebih tepat jika dibandingkan dengan sumber propaganda Israel, ini kerana bukti-bukti visual dari video mengesahkan begitu banyak sekali peluru berpandu yang dapat membedil sasaran dengan tepat, atau disebut sebagai “direct hit”.[8]
Menurut analisa media barat sendiri, serangan yang hanya mengambil masa 15 minit untuk peluru berpandu ini sampai ke Israel membuktikan ini adalah peluru berpandu hipersonik. Jenis peluru berpandu Iran ini besar kemungkinan merupakan model Fattah.[9]
Menurut sumber media Iran, operasi “True Promise 2” ini juga digelar sebagai “Wadeh Sadeq 2”. Jeneral Mohammad Bagheri memaklumkan bahawa tiga markas tentera utama TPI telah dibedil. Menurutnya, Iran sebelum ini tidak mahu menyerang kerana Amerika Syarikat dan negara Barat menjanjikan genjatan senjata jika mereka tidak bertindak balas.
Namun ternyata Amerika Syarikat dan sekutu barat mereka menipu malah bertindak membunuh Hassan Nasrallah. Iran setakat ini masih tidak menyerang insfrastruktur ekonomi dan industri Israel. Selain pengkalan udara Hatsarim dan Navatim, Iran turut menyasarkan radar, perkumpulan kereta kebal, dan pengangkut tentera di sekitar Gaza. Menurut Bagheri, jika Israel menyerang balas, serangan yang lebih besar akan dilancarkan.[10]
Analisa saya mendapati tindakan Iran untuk menyerang Israel secara langsung ini dilakukan setelah Iran berbincang dengan sekutunya Russia. Ini bagi memastikan Iran dapat mempertahankan fasiliti kritikalnya termasuk fasiliti nuklear jika Israel menyerang balas. Ini dapat dilihat dari kehadiran Perdana Menteri Russia, Mikhail Mishustin di Tehran, sehari sebelum Iran melancarkan serangan. Mishustin telah bertemu secara langsung dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dan Naib Presidennya, Mohammad Reza Aref.[11]
Menurut Scott Ritter, Russia telah membekalkan Sistem Pertahanan Udara S-400 kepada Iran dan sistem ini telah diletakkan untuk melindungi infrastruktur kritikal Iran. Manakala sumber Israel menulis bahawa sistem yang dibekalkan Russia adalah sistem yang lebih tua, bukan terbaru iaitu sistem S-300 yang mengawal fasiliti kritikal di Iran termasuklah fasiliti nuklear Natanz dan lapangan terbang Isfahan.[13]
Hizbullah Membedil Perkumpulan Tentera, Markas Mossad dan Unit Perisikan 8200: Lintasan Israel Gagal di Odaisseh
Selain serangan dari Iran, Hizbullah juga terus membedil Israel yang sedang mengumpul tentera di perbatasan untuk menjajah Lubnan. Menggunakan roket Fadi-4, Hizbullah berjaya membedil Markas TPI di Glilot yang digunakan oleh Unit Perisikan 8200. Selaln Glilot, Hizbullah juga berjaya membedil markas Mossad di Tel Aviv. Ini merupakan kali pertama, Hizbullah menggunakan roket Fadi-4 dalam operasi yang dinamakan “Operasi Khaybar”. Operasi Khaybar merupakan operasi bersiri, ia turut menyasarkan Markas Udara TPI di Sde Dov.[14]
Pada hari kedua selepas pengumuman penjajahan darat oleh TPI, masih belum ada apa-apa visual yang dapat membuktikan TPI berjaya masuk ke sempadan Lubnan. Dua kemungkinan boleh kita buat berdasarkan hal ini.
Pertama, pengumuman kononnya tentera komando dan paratroper TPI telah melintasi Lubnan hanya perang psikologi dan propaganda. Kedua, kemaraan mereka telah disekat oleh pihak resistance di Lubnan.
Menurut sumber Hizbullah, Divisyen-98 dan Brigade Perisai Ke-7 TPI telah beroperasi di sempadan tetapi belum melintas kerana posisi mereka sentiasa diserang. Laporan lapangan resistence juga merekodkan serangan dilakukan ke atas tentera yang berkumpul di sempadan termasuklah di Metulla, Kfar Kila, Avivim, Rosh Pina, Dovev, Betzet, Beit Hillel, dan beberapa kawasan lain.
Kemungkinan kedua kelihatan lebih benar terutamanya apabila Al Jazeera melaporkan bahawa tentera TPI yang cuba melintas masuk ke Lubnan melalui Odaisseh berjaya diserang oleh Hizbullah, dalam masa yang sama, media Israel mengakui bahawa serangan tersebut merupakan serangan yang serius dengan helikopter tentera terpaksa digerakkan bagi membawa tentera yang cedera ke hospital. Ini merupakan pertarungan kombat pertama “face-to-face” antara Hizbullah dan TPI pada perang kali ini, dan menyaksikan TPI berjaya dikalahkan serta terpaksa berundur.
Bedilan Hizbullah ini diakui oleh Israel di mana mereka mengumumkan 50 roket dilancarkan ke utara Israel, namun seperti biasa, Israel tidak mendedahkan angka kematian dan menyatakan hanya 10 buah rumah rosak dalam serangan tersebut. Selain Divisyen-98, TPI juga mengumumkan bahawa Divisyen-36 tenteranya akan menyertai penjajahan di Selatan Lubnan.
Resistance Berterusan Menyerang Tentera Penjajahan di Tebing Barat
Teater perang di Timur Tengah tidak hanya tertumpu di Gaza, Lubnan, dan juga serangan Iran ke atas Tel Aviv. Serangan ke arah pasukan penjajah terus berlaku di Tebing Barat dalam masa yang sama. Sumber resistance melaporkan bahawa empat tentera penjajah cedera di Nablus.
Tentera ini merupakan unit elit yang dipanggil Duvdevan Special Unit. Selain itu, serangan terhadap tentera penjajah tdilaporkan di Tulkarm dimana pejuang resistance menyerang menggunakan senjata api berat dan juga bahan letupan. Sebuah bulldozer penjajah juga dilaporkan berjaya diletupkan di al-Hamam, Tulkarm. Selain Tebing Barat, resistance juga terus berlangsung kepada kedudukan penjajahan Amerika Syarikat di Iraq dan Syria.
Tulisan Syed Ahmad Fathi,