Ringkasan

Ismail Haniyah Bersara Setelah 8 Tahun Memimpin

Ismail+HaniyehGAZA, 5 Jun 2014 — Setelah lapan tahun memikul amanah rakyat Palestin khususnya di Gaza, Ismail Haniyah meletakkan jawatannya secara sukarela.

Pada tahun 2006 Ismail dipilih menjadi Perdana Menteri ketika berusia 43 tahun, menjadikan beliau orang yang paling muda pernah memegang jawatan tertinggi itu. Beliau meletakkan jawatan pada hari Isnin 2 Jun lalu bagi memberi laluan kepada kerajaan konsensus yang baharu dibentuk.

Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga pelarian yang miskin di kem pelarian Shati. Di situlah beliau membesar dan tetap tinggal bersama isteri dan 13 anak mereka, walaupun setelah menjadi seorang Perdana Menteri.

Ismail mendapat kelulusan ijazah dalam jurusan Sastera Arab dari Universiti Islam Gaza. Beliau pernah menjadi ketua perwakilan pelajar dari 1984 hingga 1986 di universiti tersebut.

Pemimpin yang juga merupakan seorang penghafal al-Quran ini pernah ditahan sebanyak tiga kali oleh rejim Zionis. Pada tahun 1987, beliau telah dipenjara selama 18 hari. Kemudian beliau dipenjara lagi pada tahun 1988 selama enam bulan.

Beliau ditangkap lagi pada tahun 1989 dan dipenjara selama tiga tahun. Apabila dibebaskan pada tahun 1992, beliau bersama lebih 400 pemimpin Hamas dan Islamic Jihad telah dideportasi ke Marj al-Zuhur di selatan Lubnan.

Ismail dilantik menjadi pengurus dan pembantu kepada Sheikh Ahmad Yassin pada tahun 1998.

Seperti pemimpin-pemipin perjuangan Palestin yang lain, beliau turut menjadi sasaran cubaan membunuh oleh rejim Zionis. Pada bulan September 2003, beliau dan beberapa pemimpin Hamas termasuk Sheikh Ahmad Yassin telah terselamat dalam serangan udara tentera Zionis ke atas bangunan di mana mereka sedang bermesyuarat.

Perisik keselamatan Fatah juga pernah cuba membunuh beliau di lintasan Rafah pada tahun 2007.

Tindakan beliau meletak jawatan secara sukarela ini jelas menunjukkan komitmen serta harapan beliau terhadap kerajaan perpaduan Palestin. Namun komitmennya itu tidak pernah menukar pegangan teguh beliau terhadap perjuangan menentang penjajahan Zionis.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Related Posts