Israel terus mengganas – 3 terbunuh dan lebih 10 lagi tercedera

Gaza, Khamis 5 Mac 2009 – Dua terbunuh dan dua lagi tercedera parah dalam serangan terkini tentera rejim Zionis Israel ke atas kem Al-Maghazi di tengah Gaza awal pagi tadi. Kedua-dua mangsa terbunuh di tempat kejadian apabila pesawat tentera Israel melancarkan roket ke arah sekumpulan rakyat Palestin.

Menurut keterangan pasukan perubatan Palestin, dua mereka yang tercedera parah telah dikejarkan ke Hospital Al-Aqsa di bandar Dair Al-Balah.

Semalam Rabu 4 Mac, seorang rakyat Palestin terbunuh manakala sekurang-kurangnya 6 yang lain tercedera akibat serang udara yang dilancarkan oleh tentera rejim zionis Israel ke atas bandar Beit Lahiya di utara Gaza. Sumber maklumat daripada pasukan perubatan Palestin melaporkan bahawa Khalid Shalan terbunuh apabila pesawat Israel menyerang sebuah motorsikal berdekatan masjid Al-Tawba di bandar tersebut. Seorang lagi cedera parah.

Kejadian serangan tersebut dilaporkan berlaku sejurus selepas Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton, mengakhiri lawatannya ke Palestin dan negara haram Israel.

Manakala agensi berita Ramattan melaporkan bahawa briged Al-Quds mengesahkan Khalid sebagai salah seorang pejuang mereka. Briged Al-Quds yang berhubung dengan Ramattan melalui perbualan talipon turut memaklumkan seorang lagi daripada pejuang mereka telah cedera parah dalam serangan tentera Israel tersebut.

Keganasan Israel tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berhenti walaupun mereka telah mengisytiharkan genjatan senjata di akhir serangan selama 23 hari Januari lalu. Mereka juga sering menyerang daerah selatan Gaza yang didakwa mempunyai terowong bawah tanah.

Sebagai langkah menghadapi serangan tidak henti Israel ke Gaza, Briged Al-Aqsa telah mengeluarkan kenyataan untuk terus melawan Israel. “Serangan Israel jelas menunjukkan mereka tidak pernah berhajat kepada perjanjian damai. Serangan ini dan kejahatan yang berterusan tidak akan sekali-kali dibiarkan,” menurut petikan kenyataan akhbar mereka yang diterima oleh agensi berita Ramattan.
 
Tebing Barat juga tidak sepi dari keganasan berterusan Israel. Seorang remaja berumur 17 tahun, Saed Abu Ayash, cedera parah akibat tembakan askar Israel di bandar Hebron. Sumber perubatan Palestin melaporkan Abu Ayash cedera parah di bahagian kepala terkena peluru apabila askar-askar Israel melepaskan tembakan ke atas sekumpulan rakyat Palestin berdekatan sebuah sekatan tentera Israel di kampung Beit Omar.

Sebelum kejadian tersebut, tentera Israel telah menangkap 9 orang rakyat Palestin di beberapa buah bandar di Tebing Barat.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts