Kadar kemiskinan Gaza lebih tinggi daripada Rwanda

Satu kajian terbaru mengesahkan bahawa penderitaan yang dialami oleh 1.5 juta penduduk Gaza yang hidup di bawah sekatan dan embargo rejim Zionis adalah lebih teruk daripada apa yang berlaku di Rwanda.

Kajian yang dijalankan oleh Pertubuhan New Family itu menunjukkan 63.1% penduduk Gaza hidup di bawah paras kemiskinan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB.) Sedangkan negara Rwanda di timur tengah Afrika itu mempunyai 60% penduduk hidup di bawah paras kemiskinan, dengan pendapatan kasar sebanyak USD0.43 sehari.

New Family merupakan sebuah pertubuhan di Israel dipimpin oleh peguam Irit Rosenblum. Kajian mereka juga mendedahkan bahawa sebanyak 45% penduduk di Tebing Barat hidup di bawah paras kemiskinan.

Seorang wanita tua menunggu giliran untuk mendapatkan bantuan makanan daripada UNRWA di kem pelarian Rafah
Seorang wanita tua menunggu giliran untuk mendapatkan bantuan makanan daripada UNRWA di kem pelarian Rafah

Sejak tahun 2007, penduduk Gaza disekat daripada mendapatkan makanan, bahan bakar dan juga keperluan-keperluan asas yang lain.

Rejim Zionis mengenakan sekatan ke atas Gaza setelah Gerakan Perlawanan Hamas memenangi pilihanraya demokrasi pada tahun 2006. Dengan mengenakan sekatan itu, Israel berharap kerajaan Gaza akan runtuh melalui penentangan oleh rakyat yang disekat daripada mendapatkan hak asasi mereka dan terus hidup dalam penuh penderitaan. Sejak sekatan itu, harga barangan di Gaza meningkat sehingga 24.7%.

“Kita melihat suatu keadaan ekonomi yang dahsyat dialami oleh seluruh rakyat kerana di situ tidak ada zon industri, tidak ada sebarang peluang pekerjaan,” kata seorang penganalisis ekonomi, Mohsin Abu Ramadan.

PressTv melaporkan bahawa lebih 10% penduduk Gaza, kebanyakannya kanak-kanak, mengalami kecacatan fizikal akibat kekurangan zat makanan. Kerosakan yang berlaku di Gaza akibat serangan Israel pada akhir tahun 2008 masih tidak dapat dipulihkan. Dianggarkan serangan tersebut telah memusnahkan USD1.6 bilion ekonomi Gaza. (mn/PressTV/YNet)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts