Kajian Mendalam Penderitaan Wanita Palestin di Bawah Pendudukan Israel

wanita1Kaunselor Misi Pemerhati Tetap Palestin ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Nadya Rasheed, membentangkan kepada PBB satu kajian mendalam berkenaan situasi yang dihadapi oleh wanita-wanita Palestin yang hidup di bawah pendudukan Israel.

Kenyataannya adalah berdasarkan kepada satu perbahasan Jawatankuasa Sosial, Budaya dan Kemanusiaan Perhimpunan Agung PBB yang membincangkan dalam agendanya berkenaan kemajuan wanita.

Rasheed berkata sepanjang enam tahun, kesemua sektor masyarakat Palestin di seluruh jajahan Palestin yang diduduki, termasuk Baitul Maqdis Timur, telah mengalami penderitaan akibat daripada tindakan kejam yang dilakukan oleh kuasa-kuasa Israel.

Beliau menyatakan bahawa mana-mana siasatan atau analisa berkaitan keganasan terhadap penduduk Palestin akan mendedahkan satu situasi menjijikkan di mana hak-hak kemanusiaan mereka ditindas dan dilanggari dengan begitu serius oleh kuasa pendudukan tersebut, memijak maruah mereka dan mengawal hampir setiap aspek dalam kehidupan mereka.

“Sepanjang waktu ini, kuasa pendudukan tersebut terus menerus membunuh, mencedera dan melukakan penduduk awam Palestin, termasuklah wanita dan kanak-kanak, memusnahkan rumah-rumah, harta benda, infrastruktur penting dan kawasan tanaman, merampas tanah, membina tembok pemisah, membina dan memperkembangkan penempatan-penempatan dan memintas jalan-jalan,” beliau berkata, “ menangkap, menahan dan memenjarakan beribu-ribu penduduk Palestin, dan menyebabkan kemerosotan yang lebih dahsyat kepada keadaan ekonomi dan sosial penduduk Palestin yang sememangnya sudah teruk dengan menambahkan lagi bebanan sekatan ke atas pergerakan, termasuk bantuan perubatan dan kemanusiaan, di seluruh jajahan Palestin yang diduduki, termasuk Baitul Maqdis Timur.”

Rasheed menekankan bahawa tiada satu hari mahupun satu minit berlalu – ketika mana Israel, kuasa yang menduduki Palestin, tidak dengan sengajanya terlibat di dalam pelanggaran undang-undang kemanusiaan dan hak-hak asasi manusia di jajahan Palestin yang diduduki, terutamanya di Semenanjung Gaza.

Kaunselor Rasheed memberitahu bahawa wanita Palestin telah menanggung keperitan sebenar polisi haram Israel dan dengan itu realiti seterusnya bagi mereka adalah merupakan serangan ke atas gangguan dan penghinaan, keganasan dan ketakutan, dan hukuman dan diskirminasi yang kejam ddan berterusan.

“Akibat daripada beberapa pelanggaran hak-hak asasi manusia yang disebutkan di atas, misalnya pemusnahan rumah, wanita yang secara tradisionalnya adalah tenaga utama di rumah, menjaga anak-anak dan menguruskan urusan domestik di dalam rumah, tiba-tiba mendapati bahawa pusat kehidupan mereka selama ini diambil dari mereka,” beliau menekankan.

Rasheed mendedahkan lagi bahawa wanita Palestin mendapati mereka sendiri bergantung kepada kebajikan daripada saudara-mara atau organisasi kemanusiaan antarabangsa untuk menyediakan makanan dan tempat berlindung untuk anak-anak mereka.

Beliau turut memaklumkan kepada semua akan situasi kehidupan penduduk Palestin berkenaan sekatan pergerakan dan barang-barang Palestin, termasuklah pembebanan lebih daripada 600 unit kawalan di seluruh jajahan Palestin yang diduduki, telah melumpuhkan ekonomi Palestin, mengakibatkan kampung-kampung dan bandar menjadi seperti penjara yang terasing.

“Sekatan sebegini bukan sahaja telah menjadikan mereka seumpama tahanan, malah telah menyebabkan banyak kematian para wanita dan kanak-kanak Palestin. Satu daripada kesan sekatan ini yang sangat mengerikan ke atas wanita Palestin: wanita-wanita mengandung dipaksa melahirkan anak di unit-unit kawalan tentera,” kata beliau.

Rasheed menekankan bahawa wanita Palestin berhadapan dengan keadaan yang amat teruk, seringkali terpaksa bersalin di dalam kereta atau sebagaimana yang pernah diberitahu oleh seorang wanita Palestin, “Di dalam semak, bersama debu-debu, tidak ubah seperti seekor binatang.” Sejak September 2006, sekurang-kurangnya 69 wanita Palestin telah mengalami keadaan yang dahsyat ini.

“Banyak para ibu dan anak-anak mereka menderita akibat daripada komplikasi, termasuk kematian. Sebagai tambahan, kesan psikologikal ke atas wanita Palestin tidak wajar dipinggirkan, kerana kisah dan pengalaman traumatik yang dialami oleh wanita mengandung yang melalui unit-unit kawalan adalah diketahui ramai,” katanya lagi.

Kaunselor Rasheed mengesahkan bahawa setiap kali kuasa Israel bertindak sedemikian terhadap seorang wanita mengandung, ianya adalah satu kesalahan undang-undang antarabangsa kerana tindakan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan ini sangat bertentangan dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang telah digubal di dalam Konvensyen Geneva Keempat dan Peraturan The Hague, yang boleh digunakan untuk jajahan Palestin yang diduduki, termasuk Baitul Maqdis Timur, dan yang juga merupakan satu obligasi kepada Israel selaku kuasa yang menjajah.

Oleh Agensi Berita palestin (WAFA)
Sumber : www.imemc.org

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts