Kanak-kanak mangsa tragedi pembunuhan dipanggil beri keterangan di mahkamah

LOD, 13 Julai 2020 — Mahkamah Zionis memanggil Ahmed Dawabsheh, 10 tahun, bersama datuknya Hussein dan bapa saudaranya Nasr memberi keterangan berkaitan serangan membakar rumah keluarganya sekaligus membunuh ibu, bapa dan adiknya pada tahun 2015.

Selepas 70 sesi perbicaraan, ahli pertubuhan pengganas Yahudi, Amiram Ben-Uliel, telah disabitkan bersalah dengan tiga tuduhan membunuh. Namun mahkamah Zionis masih belum menjatuhkan hukuman ke atas beliau.

Sesi mahkamah bagi menjatuhkan hukuman sepatutnya diadakan pada hari Ahad, namum ditangguhkan kononnya bagi mendengar keterangan pihak mangsa.

Peguam yang mewakili keluarga Dawabsheh, Omar Hamaisi, curiga dengan tindakan mahkamah kerana semua mereka yang dipanggil memberi keterangan tidak tersenarai sebagai saksi. “Saya tidak tahu apa yang mahkamah perlukan daripada kanak-kanak ini dalam keadaan sebegini (yang akan mengimbau memori mengerikan).”

Pada malam 31 Julai 2015, Amiram Ben-Uliel bersama gerombolan pendatang Yahudi membaling bom molotov ke dalam rumah keluarga Dawabsheh di perkampungan Duma, Nablus. Rumah tersebut terbakar, dan pasangan suami isteri Saad dan Riham Dawabsheh bersama bayi berumur 18 bulan, Ali, meninggal dunia.

Manakala Ahmed yang berusia empat tahun ketika itu, cedera parah di mana 60 peratus badannya melecur tetapi berjaya diselamatkan.

(Hareetz)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts