Kekalahan mutlak bagi Israel

Mousa Abu Marzook, The Electronic Intifada.

Ribuan penduduk Palestin menghadiri perhimpunan anjuran Hamas di Bandar Gaza selepas pengumuman gencatan senjata oleh Israel, 20 Januari 2009 (Mohamed Al-Zanon/MaanImage)
Ribuan penduduk Palestin menghadiri perhimpunan anjuran Hamas di Bandar Gaza selepas pengumuman gencatan senjata oleh Israel, 20 Januari 2009 (Mohamed Al-Zanon/MaanImage)

Objektif Israel di dalam perang di Gaza telah ditetapkan lama sebelum serangan dimulakan; iaitu untuk menjatuhkan gerakan dan kerajaan Hamas, menobatkan kembali pemimpin Fatah, Mahmoud Abbas di Gaza, dan menamatkan penentangan bersenjata. Terdapat dua lagi objektif yang tidak diumumkan. Pertama, mengembalikan keyakinan rakyat Israel terhadap kekuatan ketenteraan Israel setelah ditewaskan Hizbullah pada tahun 2006. Kedua, memperkuat kedudukan kerajaan campuran bagi menghadapi pilihanraya yang akan datang.

Oleh yang demikian, kami dengan ini mengumumkan bahawa Israel telah tewas, dan tewas secara mutlak. Apakah yang telah mereka capai? Pembunuhan massal orang-orang awam, kanak-kanak dan wanita, serta kemusnahan rumah-rumah, bangunan-bangunan kerajaan dan infrastruktur-infrastruktur lain menggunakan senjata tercanggih buatan Amerika dan juga senjata kimia dan fosforus yang diharamkan. Hampir 2,000 kanak-kanak terbunuh dan cedera dalam rangka mengejar cita-cita politik. Banyak organisasi antarabangsa yang melabelkan tindakan ini sebagai jenayah perang, namun hampir tiada kecaman didengari daripada pemimpin-pemimpin dunia barat. Apakah mesej tersirat yang cuba diutuskan kepada penduduk Palestin dengan tindakan mendiamkan diri ini, sedangkan mereka sebelum ini tidak henti-henti bercakap tentang hak asasi manusia?

Sekiranya ada sesuatu pengajaran yang boleh dipelajari daripada apa yang berlaku sejak tiga minggu lalu dan juga 18 bulan yang lalu, ianya adalah petunjuk bahawa penduduk Palestin tidak semudah itu dapat dikalahkan baik dengan kelaparan, sekatan ekonomi maupun serangan pengganas. Pemimpin Eropah hanya mempunyai satu pilihan: untuk mengiktiraf keputusan proses pilihanraya demokratik yang sebelum ini mereka sendiri canangkan dan sokong.
 
Keganasan yang dilakukan telah gagal melemahkan kerajaan pimpinan Hamas, dan juga gagal memaksa penduduk memalingkan sokongan mereka kepada Hamas. Sebaliknya, dokongan rakyat bertambah kuat bukan sahaja di Palestin tetapi di seluruh dunia. Keupayaan militer Hamas juga tidak terjejas. Ini menjelaskan kenapa Israel bergegas untuk menandatangani perjanjian ‘pelik’ dengan US untuk berusaha menghentikan bekalan persenjataan daripada sampai kepada Hamas. Ia adalah sesuatu yang pasti akan gagal. Seperti yang telah diakui oleh bekas Ketua Setiausaha Israel, Moshe Yaalon dan Benjamin Netanyahu, Israel telah gagal mencapai objektif mereka.

Kenapakah Israel dibenarkan terus menerus menerima bantuan senjata, termasuk yang diharamkan, sedangkan gerakan penentang yang mempertahankan negara dihalang memiliki sarana untuk mempertahankan negara sendiri? Undang-undang antarabangsa membenarkan negara yang dijajah untuk melawan penjajah, dan itulah hak kami yang akan kami gunakan secara sepenuhnya.

Israel mesti menerima hakikat bahawa ia tidak berupaya berhadapan dengan penentangan pihak Palestin. Eropah juga perlu menerima hakikat bahawa menobatkan semula Abbas menggunakan kereta kebal Israel adalah bukan satu opsyen. Demikian juga dengan usaha untuk menang melalui “diplomasi” sedangkan ia tidak mampu dicapai oleh kekuatan ketenteraan Israel. Penetapan bahawa semua bantuan untuk pembangunan semula Gaza hendaklah melalui Perdana Menteri Salam Fayyad yang dilantik secara tidak sah menunjukkan betapa eksploitasi pihak-pihak tertentu terhadap penduduk Palestin tidak berkesudahan. Kita tidak akan berhenti daripada berusaha untuk mencapai kesepakatan nasional, tetapi kita tidak akan sekali-kali berkompromi akan hak-hak rakyat Palestin untuk mencapainya.

Dan kepada Presiden Obama kami menyatakan: gelombang harapan yang mengiringi pemilihan kamu sebagai Presiden telah surut dengan tindakan mendiamkan diri kamu terhadap pembunuhan massal yang berlaku di Gaza. Ditambah pula dengan kenyataan kamu sebelum pilihanraya yang memihak kepada penduduk di penempatan haram Israel di Sderot. Elok sekiranya anda mengetahui sejarah tempat yang anda bercakap. Sderot, yang dikenali oleh sebilangan orang sebagai sebuah bandar Israel, adalah penempatan yang dibangunkan di atas runtuhan Najd, sebuah perkampungan Palestin yang diserbu oleh sekumpulan pengganas Zionis pada bulan Mei 1948. Penduduk Najd dipaksa dari tempat tidur mereka dan dipaksa meninggalkan rumah mereka tanpa membawa apa-apa kecuali pakaian yang mereka pakai, menjadikan mereka pelarian selama 61 tahun. Itulah kisah Sderot. Bukanlah satu permulaan yang baik tersilap menentukan di antara siapa yang menzalimi dan siapa yang dizalimi,  tetapi di sana masih terdapat harapan untuk bersikap optimistik. Tetapi ianya hanya dapat dicapai sekiranya anda membuat keputusan untuk berlaku adil di dalam menangani isu 6 juta pelarian rakyat Palestin serta menamatkan penjajahan terhadap bumi Palestin, termasuk Jurusalem, barulah anda berupaya memulihkan kembali hubungan baik dengan dunia Islam. [ei. terjemahan:HP]

Mousa Abu Marzook ialah Timbalan Ketua Biro Politik Hamas

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts