Kekejaman Zionis Tiada Batasan – Yusuf Ghaben, TV Al-Aqsa

SHAH ALAM, 25 Nov 2012 – Istilah berpada-pada dan berperikemanusiaan tidak pernah ujud dalam perbendaharaan kata zionis Israel, berkata Yusuf Ghaben seorang wartawan TV Al-Aqsa yang didatangkan khas oleh Biro HALUAN Palestin untuk memberi penerangan khusus kepada rakyat Malaysia tentang kekejaman perang lapan hari ke atas Gaza.

Untuk membuktikan kenyataannya, beliau mempamerkan kepada ahli jamaah Masjid An-Naim, Jalan Kebun gambar-gambar serta video yang dirakamkan oleh dirinya dan rakan seperjuangan di mana anak-anak kecil, bayi dan wanita telah dibunuh dengan kejam oleh tentera zionis melalui pengeboman udara dan laut. Dengan kesan peluru, luka dan darah, anak-anak kecil ini syahid sebelum masa mereka demi menobatkan bumi barakah Palestin ini sebagai tanah waqaf kita semua.

Seramai seratus enam puluh tiga penduduk Gaza menemui syahid manakala lebih seribu cedera parah dan ringan, dan ada yang akan cedera ilat sepanjang hayat angkara zionis Israel itu. Di antara yang mati adalah 41 kanak-kanak dan 30 wanita – mereka yang tidak tahupun bagaimana melastik apatah lagi untuk menggunakan senapang, pistol atau bom tangan. Untuk apakah mereka dibunuh? Dunia bertanya tapi tiada sahutan jawapan.

Beliau mengesahkan bahawa kelainan perang kali ini adalah sikap tentera zionis Israel yang sengaja mensasarkan kumpulan wartawan dan tempat operasi mereka, kononnya pihak perisikan Hamas sedang berlindung di celahan mereka. Kata Yusuf, motif sebenar musuh adalah untuk menghalang aliran keluar berita penyiksaan, kesengsaraan dan pelanggaran etika perang yahudi yang sembrono membunuh orang awam tanpa belas kasihan.

“Mereka mensasarkan para mujahidin dan para wartawan sekaligus. Dan kami (termasuk wartawan luar negara bukan muslim) tidak sedikit pun merasa gentar. Malah kami semakin yakin betapa jijiknya bangsa Israel ini dari segi akhlak mereka,” katanya kepada para hadirin. Kuliah selepas isyak beliau dalam bahasa Inggeris itu telah diterjemahkan oleh Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hassan al-Hadad, Ketua Biro HALUAN Palestin.

Jet-jet pejuang Israel meranapkan ribuan buah rumah, bangunan pejabat, sekolah, universiti, hospital, masjid, stadium dan prasarana awam di Gaza. Setelah ramai orang awam keluar untuk membantu mengeluarkan mayat dan mangsa yang terperangkap di dalam runtuhan itu, jet-jet itu akan kembali selepas 10 atau 15 minit untuk mengebom semula runtuhan itu agar dapat membunuh lebih ramai lagi penduduk Gaza yang datang membantu mangsa-mangsa di situ.

“Kalau itu bukan jijik, apakah dia nama jenis peperangan bangsa Yahudi ini?” beliau bertanya.

Katanya bom-bom yang digunakan tidak sepadan dengan sasaran yang dituju. “Bangunannya kecil menempatkan keluarga miskin yang sudah termaklum susah kehidupan mereka. Yahudi menggunakan bom yang sangat besar hingga meranapkan semua struktur di sekelilingnya. Akibatnya ramai yang tercedera, dan itulah hajat mereka sebenarnya,” kata Yusuf.

Oleh kerana itu, gambar-gambar yang tersebar luas di seluruh dunia telah memaparkan kematian ramai kaum wanita, kanak-kanak dan warga tua di Gaza. Mereka tetap berdiam di rumah sendiri kerana mereka tidak ada tempat lain untuk berlindung daripada serangan ganas jet-jet pajakan Amerika itu.

“Sebab itulah mereka sangat membenci kami sang wartawan. Kami juga berjuang semacam mujahidin tetapi kami memikul kamera, bukan senjata. Kami meneruskan usaha menyebarkan ke seluruh dunia kejahatan zionis ini dan saya meminta anda pun melakukannya. Sebarkan setiap berita kejahatan zionis dan berita kesengsaraan kami yang memperjuangkan bumi anbiya’ ini,” tegas beliau lagi.

Berkenaan gencatan senjata yang bermula pada 21 November itu, Yusuf berkata ianya adalah di atas permintaan Yahudi sendiri setelah mengalami 19 kematian dan lebih 50 yang tercedera akibat balasan balik tentera Hamas. Katanya, zionis tidak pernah berpegang kepada janji dan pejuang Gaza tetap bersiap siaga untuk berperang semula setiap masa tanpa rasa gentar sedikit pun.

 

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts