Kekejian Di Sebalik Foto Kemanusiaan Tentera Zionis

GAZA, 21 Jan 2015 (Palinfo) — Pemimpin Zionis sehingga hari ini mendakwa bahawa mereka memiliki barisan tentera yang paling bermoral di atas muka bumi ini.

Namun apa yang didedahkan melalui laman web The Palestinian Information Center pada 5 Januari lalu jelas membuktikan bahawa dakwaan pemimpin Zionis tersebut adalah sikap keji mereka dalam memanipulasi maklumat kepada masyarakat dunia. Dengan itu, para penzalim Zionis dilihat oleh dunia sebagai pembela keamanan sedangkan mangsa yang mereka zalimi dilihat sebagai penceroboh atau pengganas, sekalipun manusia yang waras dapat membuat perbezaan dengan mudah sekali.

Di tengah-tengah serangan dan pengeboman hendap ke atas Gaza pada musim panas lalu, seorang askar Zionis mendekati seorang wanita warga emas Ghalya Abu-Rida, 74 tahun, untuk memberi beliau seteguk air. Askar tersebut memberi wanita yang lemah itu air minum, mengambil foto bersamanya, dan kemudian menembak wanita malang itu di bahagian kepalanya dari jarak satu meter. Askar tersebut kemudian hanya membiarkan wanita itu berlumuran darah, sehingga menemui ajalnya.

Inilah laporan yang dijelaskan oleh Ahmad Qdeh, seorang jurnalis TV al-Aqsa, tentang apa yang dilihatnya sendiri berlaku dalam serangan tersebut. Jurucakap tentera Zionis, Avichay Adraee, sebaliknya menyebarkan foto seorang askar Zionis dengan cermat memegang botol dan membantu seorang wanita Gaza meminum air, sebagai contoh sikap kemanusiaan seorang askar Zionis terhadap masyarakat awam di Gaza.

Pembunuhan di lapangan merupakan salah satu insiden yang dilaporkan oleh Ahmad Qdeh sepanjang serangan ke atas Gaza. Beliau menyebut, “Ghalya Ahmad Abu-Rida tinggal di kawasan Khuza’a di timur bandar Khan Younis. Saya tinggal di kawasan yang sama dan saya membuat laporan TV tentang kejadian yang berlaku ke atasnya setelah dibunuh oleh tentera Zionis dalam serangan tersebut.”

“Ketika serangan, seorang askar Zionis mendekati wanita warga emas itu dan mengambil foto seorang lagi askar yang sedang memberi air kepadanya. Kemudian mereka membunuh wanita itu dengan menembak di bahagian kepalanya dari jarak satu meter dan membiarkan dia berdarah sehingga meninggai dunia,” tambah Ahmad Qdeh.

Ghalya dilahirkan pada tahun 1941. Beliau tinggal bersendirian di dalam sebuah bilik berdekatan rumah saudara lelakinya di kejiranan Abu-Rida di Khuza’a. Belia tidak mempunyai anak. Kawasan ini merupakan antara yang paling awal dimasuki tentera Zionis dalam serangan tersebut.

Majed Abu-Rida, seorang anak saudara Ghalya, mengesahkan kepada media bahawa makciknya itu adalah seorang yang mengalami masalah penglihatan dan tidak dapat melihat seperti biasa. Beliau berkata tentera Zionis, yang secara palsu mendakwa telah bersikap kemanusiaan, telah membunuhnya secara sengaja.

Ghalya, dengan badannya yang begitu lemah, enggan meninggalkan rumah apabila tentera Zionis mengarahkan penduduk Khuza’a meninggalkan kawasan tersebut. Ghalya menjangkakan umurnya yang lanjut itu boleh menghalang beliau daripada menjadi sasaran tentera, jadi beliau tetap tinggal di rumah dan tidak bersama majoriti penduduk lain yang meninggalkan kawasan itu sebaik tentera Zionis menceroboh masuk.

Pada 3 Ogos, tentera Zionis mengumumkan gencatan senjata dan membenarkan petugas perubatan memasuki kawasan Khuza’a. Ghalya dijumpai telah meninggal dunia akibat pendarahan ditembak di bahagian kepala, berdekatan rumahnya. Saudaranya mengesahkan bahawa foto yang disebarkan oleh tentera Zionis menjadi bukti terhadap dakwaan keluarganya bahawa Ghalya telah ditemui oleh tentera Zionis, di mana gambaran tempat di dalam foto tersebut dan tempat mayat beliau telah ditemui menunjukkan tentera Zionis membunuh beliau selepas mengambil foto tersebut untuk tujuan manipulasi media mereka.

Foto yang disebarkan oleh rejim Zionis itu merupakan propaganda media yang mengelirukan, bertujuan untuk memaparkan sikap kemanusiaan atau moral terpuji tentera mereka. Zionis telah menipu masyarakat dunia dan menyebarkan maklumat yang mengelirukan itu sebagai langkah memenangi persepsi masyarakat dunia. Imej palsu Zionis ini perlu diperbetulkan, dan imej sebenar mangsa kezaliman mereka perlu diletakkan pada tempatnya.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts