Khutbah Jumaat Ismail Haniyeh; Bah. 1: Kuburan Untuk Orang Hidup

GAZA CITY, Apr 27, 2012 – Masjid Umari, masjid tertua dan terbesar di Gaza City, bergegar hari ini dengan khutbah Jumaat yang disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri Palestin, Syeikh Ismail Haniyeh yang membangkitkan kesedaran dan semangat rakyat Palestin agar semakin mantap bila diuji oleh Allah SWT.

Beliau berpesan agar mereka teguhkan iman dan taqwa kerana itulah benteng yang paling digeruni oleh zionis Yahudi serta sekutu-sekutunya di mana saja. Pasukan HALUAN Malaysia yang bertuah mendengari khutbah di masjid bekas sebuah gereja itu turut teruja dengan pesanan-pesanan padat beliau yang membangkitkan perihal tawanan awam Palestin yang merengkok di penjara-penjara Israel yang beliau sifatkan sebagai kuburan untuk orang yang hidup.

Ismail Haniyeh berkhutbah
Ismail Haniyeh berkhutbah

“Kenapakah kita kena berjuang untuk membebaskan tawanan-tawanan ini? Kerana mereka ini sanggup ditawan oleh Yahudi demi menjaga kemuliaan umat Islam hari ini, tidak kira di mana saja mereka berada. Mereka sedang menempuhi suatu peperangan baru – perang untuk mendapatkan kembali bumi dan hak rakyat Palestin di sebalik jeriji besi. Ini sanggup mereka harungi demi menjaga kesucian Islam. Dan di sinilah tempatnya mereka diami ibarat sebuah kubur yang tersedia untuk insan-insan yang masih bernyawa,” kata beliau.

Rejim ganas zionis Israel telah mencuba pelbagai kaedah untuk menghapuskan cita-cita mereka ini tetapi mereka menukarkan segala usaha itu dengan ketetapan mereka tersendiri dengan penuh kesabaran, cita-cita dan iman yang mantap. Diri-diri mereka ibarat sekolah dan universiti yang mampu mengajar generasi muda bagaimana hidup sebagai wira pejuang untuk tetap teguh menentang zionis Yahudi. Sekarang ini, anak-anak Palestin sedang menjalani ujian untuk membebaskan wira-wira mereka sambil memperjuangkan hak-hak serta permintaan mereka selaku banduan di sana.

Mogok lapar di kalangan tawanan itu sudah dirancang sejak 2010 lagi di mana berbagai permintaan hak selaku orang yang ditahan telah tidak diendahkan oleh pihak berkuasa negara haram Israel. Disebabkan sikap angkuh Yahudi itu, para tahanan meneruskan mogok lapar mereka.

“Mereka bertekad bermogok lapar selepas mengharungi kesengsaraan yang panjang dan tiba di satu tahap yang sudah tidak tertanggung lagi. Hak mereka sebagai insan sudah tidak dipeduli Israel termasuk larangan ziarah oleh sanak-saudara. Mogok ini salah satu langkah yang mereka ambil untuk mendapatkan hak asasi mereka selaku tawanan. Kerana mereka telah berjanji kepada Allah dan pada rakyat ini demi memenangkan Palestin. Dan daripada masjid ini kita akan meletakkan satu batu asas dan kita deklarasikan sokongan padu kita terhadap saudara-saudara kita yang ditawan di penjara zionis. Kita desak Israel kembalikan hak-hak tawanan ini pada kadar segera. Dunia sedang memerhati mereka,” ujar beliau berkhutbah.

Bersalaman dengan jamaah masjid Umari
Bersalaman dengan jamaah masjid Umari

Haniyeh mahukan pembebasan para tahanan dari semua penjara Israel yang diibaratkan seperti kubur untuk yang masih bernyawa. Katanya, pendokong nilai-nilai kemanusiaan yang paling minima sekalipun akan terperanjat dan tidak mengiktiraf apa yang sedang diperkosakan terhadap tawanan Palestin kini. Beliau menyebut tentang penahanan pengasingan (solitary confinement) terhadap Hassan Salaamah selama 11 tahun dan lain-lain pejuang Palestin yang tidak diberikan akses lawatan.

“Ini adalah suatu kezaliman, penindasan, kebejatan serta sifat kedengkian zionis Israel terhadap hak-hak asasi kemanusiaan secara umumnya,” tambah beliau.

Pembebasan mereka ini antara agenda utama dalam senarai permintaan kerajaan Palestin, di samping meminta penghapusan undang-undang Shalit yang menyukarkan kehidupan tawanan-tawanan Palestin. ”Kita menangkap Shalit ketika dia berada di dalam kereta perisai sedang menembak anak-anak isteri kita. Peraturan kurungan pengasingan ini sesuatu yang zalim yang menyekat hak-hak asasi wira-wira kita serta rakyat Palestin amnya”.

Katanya rakyat Palestin akan istiqamah memperjuangkan isu utama ini sehinggalah hak-hak asasi tawanan dipulihkan sepenuhnya. Ini merupakan kewajipan kemanusiaan serta agama. ”Bukan daripada kami orang-orang yang merosakkan kemanusiaan dan bukan daripada kalangan kami orang yang tidak mendesak hak-hak bagi tawanan. Allah telah berfirman bahawa jangan kamu merasa hina atau bersedih hati kerana kamu adalah orang yang mulia jika benar kamu beriman.”

Haniyeh berkata rakyat Palestin yakin pembebasan tawanan itu akan berlaku dalam waktu yang terdekat selagimana nadi masih berdenyut dan perjuangan ini diteruskan oleh anak-anak kecil, remaja lelaki dan wanita serta dewasa yang tiada henti berjuang menentang penjajahan Yahudi.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts