Konspirasi Israel Merampas Kota Suci Baitulmaqdis

BAITULMAQDIS, 21 Dis 2017 — Status kota suci Baitulmaqdis masih kekal menjadi salah satu isu paling mencabar dan tidak menentu bagi pihak-pihak yang terlibat usaha menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

Selepas menduduki bahagian timur Baitulmaqdis dalam peperangan pada bulan Jun 1967, Israel menggabungkan kota suci umat Islam itu sebagai sebahagian daripada wilayah mereka, dan para pemimpin politik mereka mengisytiharkannya sebagai “ibukota abadi Israel yang tidak berbelah bagi”. Tetapi masyarakat antarabangsa termasuk Amerika Syarikat (US), tetap menganggap Baitulmaqdis Timur sebagai wilayah yang diduduki atau dijajah, dan menolak keputusan Israel untuk memindahkan penduduk Yahudi ke sana. Dakwaan Israel bahawa Baitulmaqdis adalah ibukotanya juga tidak diterima oleh US. Kebanyakan negara asing, termasuk Amerika Syarikat, mengekalkan pejabat kedutaan mereka di Tel Aviv.

Sebelum tertubuhnya negara Israel, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang baharu dibentuk pada tahun 1947, telah mengadakan satu undian ke atas Pelan Pemisahan (Partition Plan) untuk membahagikan dan memisahkan wilayah asal Palestin, yang ketika itu berada di bawah Mandat British, di antara bangsa Yahudi dan Arab.

Pada 29 November 1947, PBB menerima pakai cadangan mewujudkan Baitulmaqdis, seperti yang bertanda garis merah, sebagai “separatum korpus di bawah kuasa khas antarabangsa.” Tetapi peperangan 1948 membahagikan kota itu antara kawalan Israel (biru) dan Jordan (kuning)

Walaupun Pelan Pemisahan itu meletakkan Baitulmaqdis dalam wilayah Arab Palestin, ia menetapkan kawasan Baitulmaqdis dan Beit Lahm sebagai corpus separatum (wilayah yang berasingan), di bawah kuasa khas antarabangsa. Status khas itu diputuskan berdasarkan kepada kedudukan penting Baitulmaqdis dalam ketiga-tiga agama Samawi, tempat berdirinya Masjid Al-Aqsa, Gereja Holy Sepulcher, dan Tembok Barat kuil Yahudi yang dibina oleh Herod. Terdapat 100,000 orang Yahudi yang tinggal di Baitulmaqdis pada masa itu, dan Pelan Pemisahan membayangkan jumlah penduduk Arab yang sama ramai dalam kawasan gabungan Baitulmaqdis-Beit Lahm itu.

Pemimpin-pemimpin Israel menerima Pelan Pemisahan, tetapi ditolak oleh pemimpin Arab yang bertindak balas ke atas pengisytiharan kemerdekaan Israel pada tahun berikutnya dengan peperangan. Konflik tersebut menyebabkan perubahan besar ke atas peta itu, apabila tentera Israel mara masuk ke Baitulmaqdis dan membersihkan sebahagian besar kawasan di sepanjang pantai dan Gallilee daripada penduduk Palestin.

Susulan perang 1948, Israel menguasai 78 peratus wilayah asal Palestin walaupun pembahagian asal telah memperuntukkan 55 peratus wilayah itu untuk negara Yahudi dan 45 peratus daripadanya kepada negara Arab Palestin. Baki 22 peratus, yang terdiri daripada Gaza dan Tebing Barat (termasuk Jerusalem Timur), kemudian masing-masingnya dikuasai oleh Mesir dan Jordan.

Baitulmaqdis bagaimanapun kekal sebagai kota yang dibahagikan, dengan tempat-tempat suci di bahagian timur diletakkan di bawah kuasa Jordan. Masyarakat antarabangsa terus menganggap kota suci itu berada di bawah status khas.

Garis kasar di atas peta yang dilukis dengan oleh tangan-tangan komander Israel dan Jordan pada bulan November 1948, yang kemudian menjadi Garis Gencatan Senjata (Armistice Line) 1949 yang rasmi, meninggalkan sebahagian daripada Baitulmaqdis sebagai tanah tanpa penduduk, di luar kendalian Israel dan Jordan. Pengaturan khas dibuat untuk Gunung Scopus, yang terletak di dalam zon kawalan Jordan, tetapi menempatkan sebuah hospital Israel dan Universiti Hebrew Jerusalem. Garis Gencatan Senjata 1949, yang juga dikenali sebagai Green Line – atau lebih difahami sebagai “Sempadan 1967” – sering dirujuk dalam rundingan dua negara antara Israel dan Palestin.

Walau bagaimanapun, peperangan pada bulan Jun 1967 memberi kuasa kepada Israel ke atas baki 22 peratus – Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Gaza. Israel kemudian menggabungkan Baitulmaqdis Timur ke dalam wilayah mereka, mentakrifkan semula sempadan perbandaran untuk memasukkan bandar-bandar dan kampung-kampung lain di Tebing Barat, menjadikannya sebagai kota yang terbesar.

Sungguhpun digabungkan ke dalam wilayah Israel, orang-orang Palestin di Baitulmaqdis Timur tidak diberi status kewarganegaraan Israel sepertimana diberikan kepada orang-orang Palestin yang kekal di negara itu selepas perang tahun 1948. Sebaliknya, menurut kumpulan hak asasi B’tselem, orang-orang Palestin di Timur Baitulmaqdis diberikan status “penduduk tetap”, iaitu status yang sama dengan orang asing bukan Yahudi yang berpindah ke Israel. Orang-orang Palestin di Baitulmaqdis Timur hidup dalam kebimbangan bahawa status mereka sebagai penduduk Baitulmaqdis akan dibatalkan sekiranya tidak dapat mengemukakan bukti bahawa mereka adalah penduduk asal kota tersebut. B’tselem mengatakan bahawa seramai 14,000 telah mengalami nasib tersebut sejak 1967.

Walaupun masyarakat antarabangsa – termasuk sekutu utama Israel sendiri, Amerika Syarikat – menolak penempatan haram Yahudi di Baitulmaqdis Timur, 12 blok penempatan haram yang didiami lebih 190,000 pendatang Yahudi telah dibina di kota suci itu sejak tahun 1967.

Pada tahun 1980 parlimen Israel, yang digelar sebagai Knesset, meluluskan Undang-undang Jerusalem yang menyatakan bahawa “Jerusalem, secara keseluruhannya dan bersatu, adalah ibukota Israel.” Walau bagaimanapun, Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 478, yang diterima pakai selepas mendapat 14 undi menyokong dan tiada langsung undi membantah, dengan hanya satu undi berkecuali dari Amerika Syarikat, mengisytiharkan undang-undang tersebut “terbatal dan tidak sah.” Hari ini tiada negara asing yang menempatkan pejabat kedutaannya di Baitulmaqdis.

Pada 30 November 1948 komander Israel, Moshe Dayan, dan komander Jordan, Abdullah el-Tell, melukis peta yang menjadi Garisan Gencatan Senjata (Armistice Line) 1949.

Walaupun Kongres Amerika meluluskan undang-undang yang menghendaki Kedutaan Amerika dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis pada tahun 1995, ia membenarkan pengecualian pelaksanaan undang-undang tersebut. Sejak itu, setiap presiden Amerika bermula dengan Bill Clinton, dua kali setahun, melepaskan pelaksanaan undang-undang itu.

Pengiktirafan Jabatan Negara Amerika ke atas status Baitulmaqdis sebagai corpus separatum telah mencetuskan pertikaian undang-undang dengan ibu bapa kanak-kanak Menachem Zivotofsky, 12, seorang warganegara Amerika yang dilahirkan di Baitulmaqdis, yang sijil kelahirannya tidak meletakkan nama kota beliau dilahirkan. Kes ini membuatkan Mahkamah Agung Amerika mengkaji hujah-hujah tentang samada Jabatan Negara harus menggunakan “Jerusalem, Israel” dalam dokumen yang dikeluarkan kepada warga Amerika yang dilahirkan di sana. Sijil kelahiran Zivotofsky menetapkan tempat kelahirannya sebagai “Jerusalem.”

Status Baitulmaqdis terbukti menjadi penghalang utama bagi mereka yang berusaha untuk menjalin penyelesaian dua negara terhadap konflik Israel-Palestin. Kegagalan untuk mencapai persetujuan mengenai isu itu adalah sebab utama kegagalan rundingan Camp David 2000, di antara Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Israel dan ditaja oleh Amerika.

PLO menuntut kedaulatan Palestin ke atas Baitulmaqdis di timur sempadan Green Line. Israel menawarkan kuasa menjaga tempat suci Islam dan Kristian di Baitulmaqdis Timur kepada Palestin, tetapi tidak mahu memberikan kedaulatan. Pihak Israel juga menuntut bahawa blok-blok besar penempatan haram Yahudi di Baitulmaqdis Timur akan tetap menjadi sebahagian daripada wilayah Israel.

Pemimpin pembangkang ketika itu, Ariel Sharon, membantah tawaran tersebut dan memimpin sebuah kontinjen besar tentera berarak ke Masjid al-Aqsa (Temple Mount) sehingga mencetus bantahan penduduk Palestin yang melahirkan Intifada Kedua.

(Terjemahan artikel tulisan Ehab Zahriyeh di aljazeera.com)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts