Laporan media: Rejim Zionis rancang bayar penduduk Palestin supaya pindah ke Paraguay selepas perang 1967

TEL AVIV, 12 Ogos 2020 — Laporan sebuah rancangan televisyen Zionis mendedahkan rancangan rejim Zionis secara rahsia “menempatkan semula” 60,000 orang penduduk Palestin di Paraguay selepas Perang 1967.

Perkara ini didedahkan oleh saluran KAN, sebuah siaran milik Israeli Public Broadcasting Corporation.

Merujuk kepada satu minit mesyuarat kabinet, rancangan tersebut mendakwa agensi perisikan Zionis, Mossad, telah membuat cadangan kepada rejim Zionis supaya membayar ribuan penduduk Palestin bagi berpindah ke Paraguay sepanjang tempoh empat tahun, apabila rejim menduduki wilayah Tebing Barat dan Gaza.

Cadangan yang dibuat pada tahun 1967 itu telah diserahkan oleh ketua Mossad, Zvi Zamir, kepada Perdana Menteri Zionis, Golda Meir. Ia dikatakan telah dipersetujui bersama kerajaan Paraguay.

Kenyataan Zamir dalam minit tersebut menyebut bahawa Paraguay, yang pada waktu itu di bawah pimpinan berhaluan kanan Parti Colorado, bersetuju untuk “menyerap” 60,000 penduduk Islam Palestin “yang bukan komunis”, iaitu sekitar 10% penduduk Palestin ketika itu. Sedangkan beberapa pertubuhan hak asasi manusia menuduh diktator Paraguay, Alfredo Stroessner, melakukan pencabulan termasuk penderaan, penghilangan manusia, pembunuhan tanpa proses kehakiman, serta kempen genosid ke atas penduduk asal negara tersebut.

“Perkara ini disahkan dalam sepucuk surat dari Kementerian Imigresen, tetapi dokumen perjanjian tidak disertakan dalam surat tersebut,” sebut Zamir dalam minit yang didedahkan oleh KAN.

Rejim Zionis dikatakan akan membiayai kos perjalanan serta sara hidup asas sebanyak $100 untuk setiap penduduk Palestin. Mereka juga akan membayar $33 kepada kerajaan Paraguay bagi setiap penduduk Palestin yang berpindah, tidak termasuk yuran awal sebanyak $350,000 bagi tujuan “penempatan semula” kumpulan pertama 10,000 penduduk Palestin. Keseluruhannya, rejim Zionis telah bersetuju untuk membayar $33 juta.

Penduduk Palestin dijamin mendapat status penduduk sejurus tiba, serta laluan untuk menjadi warganegara dalam tempoh lima tahun.

Rancangan tersebut diluluskan pada tahun yang sama di mana Mossad menghentikan operasi memburu anggota Nazi di luar negara, termasuk Paraguay. Beberapa orang buruan Nazi tinggal di Paraguay ketika itu, termasuk Dr. Josef Mengele yang terkenal sebagai “Angel of Death”. Hal ini menimbulkan prasangka bahawa kedua-dua perkara ini mempunyai kaitan.

Menurut The Jerusalem Post, rancangan tersebut akhirnya gagal di mana hanya 33 penduduk Palestin berpindah ke Paraguay. Dua daripada mereka telah menembak serta membunuh seorang pekerja kedutaan Zionis di Paraguay pada tahun 1970, menyebabkan polisi tersebut ditamatkan.

(The New Arab)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts