Lebih 230 Penduduk Palestin Tercedera Dalam Tempoh 24 Jam

RAMALLAH, 4 Okt 2015 (PIC) — Sekurang-kurangnya 12 orang tercedera ditembak, sebahagiannya dengan peluru hidup, dalam pertempuran yang tercetus di Ramallah dan al-Bireh, menjadikan jumlah penduduk Palestin yang tercedera seramai 232 orang dalam tempoh 24 jam.

Lima pemuda ditembak dengan peluru hidup sementara lima yang lain ditembak dengan peluru getah dalam pertempuran di mana puluhan penduduk Palestin cuba menghalang pencerobohan tentera Zionis ke atas bandar al-Bireh. Ramai yang lain turut mengalami kecederaan sesak nafas.

Pertempuran tercetus apabila tentera Zionis menceroboh sebilangan besar bandar-bandar di Tebing Barat dan melepaskan tembakan ke arah penduduk yang menghalang dengan membaling batu.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) telah mengisytiharkan keadaan darurat di seluruh Tebing Barat dan Al-Quds berikutan peningkatan mendadak keganasan tentera zionis dan pendatang Yahudi ke atas penduduk Palestin.

Dalam kenyataan mereka, PRCS menyenaraikan 14 kes serangan ke atas staf dan kenderaan mereka dalam tempoh 72 jam, satu keadaan yang disifatkan sebagai “pencabulan yang memuncak ke atas PCRS, pasukannya dan juga khidmat kemanusiaan yang mereka berikan.”

Awal hari ini, dua orang Palestin tercedera di sebuah sekatan pemeriksaan tentera di Bethlehem. Lapan lagi mengalami kecederaan dalam pertempuran lain di sekitar Tebing Barat dan Al-Quds.

Ketegangan meningkat beberapa minggu ini, terutama di Al-Quds, apabila rejim Zionis menghalang penduduk Palestin memasuki Masjid Al-Aqsa dan pada masa yang sama memberi laluan kepada pelampau Yahudi masuk menyerang dan merosakkan harta masjid.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts