
LONDON, 19 Dis 2018 — Laporan Badan Bertindak bagi Pelarian Palestin di Syria (AGPS) hari ini mendedahkan sekurang-kurangnya 563 orang pelarian Palestin telah meninggal dunia akibat didera dalam penjara-penjara Syria.
Sabtu lalu, dua adik-beradik perempuan dari kem pelarian Yarmouk telah didera dalam penjara sehingga meninggal dunia, setelah dikurung selama empat tahun.
Menurut AGPS, seramai 1,712 pelarian Palestin masih merengkok dalam penjara-penjara Syria. Kebanyakan keluarga merahsiakan penangkapan anak-anak lelaki mereka kerana bimbang diganggu oleh pasukan tentera Syria.
Pelarian Palestin dikenakan berbagai jenis penderaan dalam penjara dan pusat tahanan rahsia. AGPS merekodkan seramai 1,712 pelarian Palestin, termasuk 106 wanita, masih dikurung dalam keadaan mengerikan, di samping 12,000 tahanan lain.
Rejim Syria turut menangkap sebilangan pelarian Palestin yang pulang dari Eropah secara sukarela.
Seramai 3,874 pelarian Palestin telah terbunuh di Syria sejak empat tahun lalu, termasuk 200 orang yang kebuluran tanpa makanan dan ubat-ubatan di kem pelarian Yarmouk.
(Sumber: PIC, Alray, MEMO, Palestinow)