Lebih dahsyat daripada gempa bumi

Kathy Kelly menulis daripada Rafah, Semenanjung Gaza, secara langsung daripada Palestin, 22 Januari 2009

dahsyat-dari-gempaLalu lintas di Sea Street, laluan utama di tepi pantai Semenanjung Gaza, terdiri daripada kuda, kereta sorong yang ditarik keldai, penunggang basikal, pejalan kaki, trak dan kereta, yang kebanyakannya model lama. Di atas kepala, berlawanan dengan keadaan jalan di bawah sana, pesawat peninjau tanpa pemandu (UAV) ultra-moden Israel terbang kehulu hilir di langit. F-16 dan helikopter juga boleh didengari. Saki baki yang ditinggalkan mereka, kelongsong-kelongsong peluru berpandu, sisa-sisa bom dan peluru-peluru yang digunakan sepanjang tiga minggu serangan Israel, bertaburan di atas tanah.

Pekerja-pekerja telah membersihkan kebanyakan laluan jalan raya. Sekarang mereka sedang membersihkan timbunan runtuhan dan serpihan, tidak ubah seperti yang dilakukan selepas kejadian gempa bumi.

“Namun, seluruh dunia akan menghulurkan bantuan selepas kejadian gempa bumi,” berkata seorang doktor di Hospital al-Shifa di Gaza. “Kami benar-benar rasa kecewa,” beliau menambah. “Dunia barat, Eropah dan Amerika sekadar memerhati pembunuhan yang berlaku sepanjang 22 hari, seolah-olah mereka sedang menyaksikan sebuah tayangan filem, melihat pembunuhan wanita dan kanak-kanak tanpa melakukan apa-apa untuk menghentikannya. Saya menjangkakan diri saya akan mati pada bila-bila masa. Saya memegang anak-anak saya dan menunggu masa untuk mati. Tidak ada tempat yang selamat di Gaza.”

Beliau dan rakan-rakan sekerja jelas kepenatan, selepas bertungkus lumus selama beberapa minggu di unit rawatan rapi dan wad kecemasan di hospital yang menerima jauh lebih banyak pesakit daripada apa yang mampu mereka tangani. “Pesakit-pesakit mati di atas lantai bilik bedah kerana kami hanya mempunyai enam bilik bedah.” kata Dr. Saeed Abuhassan, doktor unit rawatan rapi (ICU) yang dibesarkan di Chicago. “Kami benar-benar tidak mempunyai cukup maklumat tentang jenis senjata yang telah digunakan di Gaza.”

Sepanjang 15 tahun berkhidmat sebagai doktor, Dr. Abuhassan berkata beliau tidak pernah melihat kesan kebakaran seperti yang beliau lihat di sini. Kesan kebakaran tersebut berwarna kehitaman, membakar daging dan otot sehingga mencecah tulang. Walaupun setelah dirawat, kesan kehitaman itu akan kembali.

Dua orang pesakit dihantar ke Mesir kerana keadaan mereka yang sangat kritikal. Mereka meninggal dunia di Mesir. Setelah autopsi dijalankan, laporan menyebut bahawa sebab kematian ialah keracunan daripada elemen fosforus putih yang telah memasuki sistem badan, yang mengakibatkan serangan jantung.

Di Bandar Gaza, pengarah unit kebakaran yang juga seorang pakar bedah plastik dan pakar rawatan kebakaran, memberitahu kami apabila berhadapan dengan kes yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini, maka doktor-doktor akan menjalankan biopsi ke atas pesakit yang disyaki mengalami kebakaran akibat unsur kimia dan sampel akan dihatar ke makmal di Mesir. Keputusan menunjukkan kewujudan elemen fosforus putih di dalam tisu.

Perbualan kami diganggu oleh panggilan telefon daripada seorang petani yang bertanya adakah selamat untuk memakan buah oren yang dipetiknya daripada pokok-pokok yang ditumbangkan dan dibom oleh tentera Israel. Pemanggil tersebut berkata buah oren tersebut mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan dan apabila ia dipetik tangan akan menjadi gatal.

Audrey Stewart, seorang pekerja sukarela hak asasi manusia, baru sahaja meluangkan masa bersama petani-petani Gaza di Tufaa, sebuah bandar berdekatan sempadan antara Gaza dan Israel. Tentera Israel mula-mula mengosongkan kediaman-kediaman penduduk, kemudiannya meletupkan rumah-rumah mereka, kemudian menggunakan buldozer untuk meratakan tanah, termasuklah menumbangkan pokok-pokok oren. Ramai penduduk, termasuk kanak-kanak, cuba mencari barang-barang yang boleh diselamatkan dicelah-celah timbunan runtuhan rumah mereka. Ada yang cuba memetik buah oren daripada pokok yang ditumbangkan. Satu ketika, penduduk menjerit ke arah Audrey, kerana dia berada berhampiran dengan sebiji roket yang tidak meletup.

Doktor tersebut memangku kepala dengan tangannya, selepas mendengar laporan Audrey. “Saya memberitahu mereka supaya membasuh semua benda dengan sebaik mungkin. Tetapi ini adalah satu benda yang baru. Saya benar-benar tidak tahu bagaimana hendak menjawabnya.” katanya.

Walaubagaimanapun beliau bercakap dengan penuh emosi tentang apa yang beliau tahu berkenaan keluarga-keluarga yang mati terbakar atau terhempap apabila kediaman-kediaman mereka dibom. “Adakah bayi-bayi mereka membahayakan sesiapa?” dia mengajukan soalan kepada kami.

“Mereka menipu kita tentang demokrasi dan nilai-nilai barat,” beliau menambah, suaranya tersekat-sekat. “Sekiranya kami adalah biri-biri dan kambing, mereka tentu akan lebih bersedia untuk membantu kami.”

Dr. Saeed Abuhassan mengucapkan selamat tinggal kepada doktor-doktor yang bertugas bersama beliau di Gaza. Dia akan pulang dan kembali bertugas di UAE. Tetapi sebelum beliau pulang, beliau sempat meninggalkan pesan kepada kami, “Perkara yang paling penting yang boleh kalian beritahu rakyat negara kamu ialah rakyat Amerika telah membiayai kebanyakan senjata yang digunakan untuk membunuh manusia di Gaza,” kata Dr. Saeed Abuhassan. “Dan inilah juga sebab kenapa ianya adalah lebih dahsyat daripada gempa bumi.” [ei/terjemahan:HP]

Kathy Kelly adalah koordinator bersama bagi Voices for Creative Nonviolence dan dapat dihubungi di kathyATvcnvDOTorg.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts