Maguire – Israel mesti hentikan apartheid

Pemenang Anugerah Nobel Keamanan daripada Ireland, Maired Maguire mendesak rejim Zionis Israel supaya menghentikan polisi apartheid mereka ke atas rakyat Palestin. Beliau berbuat desakan demikian dalam satu sesi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Israel pada hari Isnin, 4 Oktober.

Maguire, 66 tahun, merupakan seorang aktivis keamanan yang ditangkap pada minggu lepas apabila dihalang daripada memasuki Tel Aviv dan enggan meninggalkan negara Israel. Beliau sebelum ini telah dijatuhkan hukuman larangan memasuki Israel untuk tempoh 10 tahun kerana menyertai misi kemanusiaan kapal Rachel Corrie pada bulan Jun lalu. Misi tersebut cuba memecah embargo dan sekatan yang dikenakan oleh rejim Zionis ke atas Gaza.

Maguire bagaimanapun enggan meninggalkan Israel dan memohon mahkamah supaya membenarkan beliau memasuki Israel untuk menyertai delegasi wanita bagi hak asasi kemanusiaan. Rejim Tel Aviv tetap menentang cadangan kompromi oleh mahkamah bagi membenarkan Maguire menyertai delegasi tersebut selama 2 hari sebelum berlepas pulang ke Ireland.

Maquire memenangi Anugerah Nobel Keamanan pada tahun 1976 hasil usaha dan komitmen beliau dalam menamatkan pertelingkahan kaum di Ireland Utara. Beberapa tahun kebelakangan ini beliau begitu aktif menyuarakan kritik terhadap Israel dan peranan rejim Zionis itu dalam krisis kemanusiaan di Palestin.

Dalam keputusan mahkamah lewat hari semalam (Isnin) Israel membuat ketetapan untuk tetap menghalang Maquire daripada memasuki Israel tanpa sebarang kompromi. Mendengar keputusan tersebut, Maquire berkata kepada pemberita, “keamanan akan muncul… tapi hanya setelah Israel hentikan apartheid dan penghapusan kaum terhadap rakyat Palestin.”

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts